Riza Baharudin
Riza Baharudin
Norhayati Nordin


Kuala Lumpur: Pengarah Riza Baharudin meletakkan kesilapan yang berlaku atas tanggungjawab dirinya kerana sudah meluluskan babak 'kritikal' lakonan Redza Rosli dalam drama Bisik-Bisik Gelora di TV3 yang menjadi 'viral' baru-baru ini sehingga mendapat teguran daripada seorang doktor perubatan di Tik Tok.

Riza dihubungi berkata sebagai pengarah, dia sedar sekiranya hendak membuat 'scene' kritikal haruslah memastikan cara pemasangan tiub bantuan pernafasan (intubation tube) dilakukan dengan betul.

"Sebenarnya peralatan pernafasan itu dipasang sendiri oleh pegawai perubatan yang bertugas di hospital dan bukannya dibuat sesuka hati oleh kru produksi. Ini kerana, penggambaran babak itu saya buat dalam hospital betul dan bukan di studio.

"Saya sendiri, mulanya ada bertanya kepada individu yang memasangkan peralatan itu sama ada betul atau tidak dan dia memaklumkan semuanya okey. Jadi, saya terima sajalah kerana yakin individu itu lebih arif dan tahu dengan bidang kerjanya.

"Silapnya saya, tidak merakam gambar ketika pemasangan alat itu dibuat. Kalaulah saya ambil gambar, mesti boleh dirujuk kepada doktor atau pakar perubatan yang lain sama ada cara penyambungan tiub bantuan pernafasan dibuat itu betul atau salah," katanya kepada Harian Metro.

Riza berkata apa yang berlaku itu kini dijadikannya sebagai pelajaran dan pengajaran agar tidak berlaku lagi pada masa akan datang. Malah, katanya dia juga tidak mahu menuding kesalahan yang sudah berlaku itu kepada individu berkenaan.

"Saya melihat apa yang berlaku itu sebagai pelajaran dan pengajaran kepada diri sendiri. Saya juga tidak mahu menyalahkan individu yang memasang peralatan itu. Saya akan mengambil tanggungjawab ini dan untuk semua komen diberikan, saya melihatnya secara positif saja.

"Kalau orang nak kecam pun, saya ambil positif semuanya supaya 'next time' saya tak akan buat benda (kesilapan) yang sama itu. Selepas ini, saya akan pastikan ada ambil gambar dan kemudian rujuk dengan beberapa orang doktor untuk kepastian saya nak 'shoot'. Saya pun nakkan benda yang logik," katanya lagi.

Menurut Riza, dia juga berterima kasih kepada penonton drama tempatan kerana peka dan memberikan teguran.

Katanya, walaupun sedikit kecewa dengan apa yang berlaku, namun dia tetap bertanggungjawab.

"Cerita dah logik, tapi hanya disebabkan kesilapan benda itu terus jadi tak logik dan saya memang kecewa sedikit. Tapi, apa-apapun saya salahkan diri sendiri juga sebab saya yang meluluskan 'scene' itu. Saya tidak mengambil gambar dan seterusnya rujuk dengan doktor yang pakar lebih dulu.

"Saya rasa membuat kesilapan besar di sini. Ia berikutan, saya terlampau percaya kepada orang yang memasang benda itu. Saya akur dan mengambilnya sebagai pelajaran dan pengajaran untuk lebih peka pada masa akan datang," katanya.

Terdahulu, tular di laman sosial apabila babak Jad Izzuddin lakonan Redza Rosli yang terlantar dalam keadaan kritikal di hospital menjadi bahan lawak netizen selepas cara tiub bantuan pernafasan yang digunakannya dianggap pelik oleh penonton.

Tidak hanya itu, babak 'viral' berkenaan juga mendapat teguran oleh seorang doktor perubatan apabila mendakwa cara penyambungan tiub bantuan pernafasan itu tidak sama seperti amalan perubatan sebenar.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Jun 2022 @ 2:55 PM