Zaki bersama tunangnya, Raa Suzuran.
Zaki bersama tunangnya, Raa Suzuran.
Sudirman Mohd Tahir

Kuala Lumpur: "Kalau boleh nak sekali lafaz saja," kata pelakon Zaki Azeman yang bakal melangsungkan pernikahan dengan tunangnya, Siti Nor Sahira Ahmad, 23, di sebuah hotel di Kota Bharu, Kelantan, esok.

Zaki, 28, atau nama sebenarnya Mohamad Zaki Azeman berkata, dia bakal menyerahkan mas kahwin RM19,999 beserta satu set barangan kemas.

"Insya-Allah, majlis nikah bakal diadakan pada sebelah pagi dan majlis resepsi jam 8 malam di lokasi sama. Wang hantaran tidak ada, cuma serahkan mas kahwin dengan satu set barangan kemas.

"Memang gementar dan takut, tapi pada masa sama seronok. Pada majlis sanding nanti ia bertemakan Cinderella dan Raja. Kami mahukan kelainan. Jadi, masa pengantin perempuan masuk dewan, dia akan diiringi oleh tujuh abangnya sebab bakal isteri ini anak bongsu," katanya kepada Harian Metro.

Berbaki satu hari lagi sebelum menjelang majlis perkahwinan, Zaki juga pelakon drama Bidadari Salju berkata, dia banyak mendapat nasihat daripada ibu bapa, abang-abang tunangnya dan kawan-kawan yang sudah berkahwin.

"Nasihat ini datang daripada mereka yang sudah berkahwin. Mereka cakap, sebagai lelaki perlu banyak bersabar dari sebelum ini. Malah, kena kenal dan terima baik buruk pasangan kita.

"Saya percaya itu sebenarnya yang penting apabila nak menggalas tanggungjawab sebagai ketua keluarga. Sebab cabaran selepas berkahwin lebih besar dari bertunang," katanya.

Terdahulu, Zaki dan Siti Nor Sahira atau Raa Suzuran melangsungkan pertunangan pada 2 Februari lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Mei 2022 @ 11:53 AM