Penyanyi Datuk Hattan ketika sesi latihan bersama barisan pemuzik konsertnya di Avia Musicom Ampang, Selangor. FOTO ASWADI ALIAS
Penyanyi Datuk Hattan ketika sesi latihan bersama barisan pemuzik konsertnya di Avia Musicom Ampang, Selangor. FOTO ASWADI ALIAS
Ridzuan Abdul Rahman

 

Kuala Lumpur: Datuk Hattan menyifatkan pertembungan tiga konsert iaitu konsert solonya Hattan – 35 Years Journey pada 4 dan 5 Jun di Dewan Plenary, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) dengan dua konsert lain mempunyai kebaikan dan keburukan tersendiri.

Turut berlangsung pada tarikh 4 Jun ialah Konsert Search Endemik di Zepp Kuala Lumpur, Bukit Bintang City Centre dan Showcase Amal Keluarga Malaysia Artis Lagenda 3.0 anjuran Nizam Laksamana di Bangi Resort Hotel, Bangi.

"Ia sebenarnya bagus untuk industri muzik kerana menunjukkan ia dah mula meriah, cuma masalahnya pertembungan itu ialah kadang-kadang penonton kita sama saja. Jadi, sebenarnya apapun rezeki masing-masing serta bergantung kepada strategi masing-masing untuk pasarkan konsert mereka kepada peminat.

"Saya doakan semoga semua konsert sukses dan mendapat tempat di hati peminat," katanya yang ditemui pada sesi latihan bersama pemuziknya di Studio Avia Musicomm, Ampang, baru-baru ini.

Hattan berkata, dia tidak terkilan dengan apa yang berlaku, namun hairan kenapa tarikh konsert lain tidak dianjakkan sedikit.  

"Apapun itu terpulang kepada penganjur. Kalau ikut saya lebih baik dijarakkan, jadi kita lebih seronok untuk menonton semua persembahan yang diadakan.  Saya juga bersyukur kerana tiket untuk 5 Jun dah habis dibeli oleh sebuah syarikat korporat, manakala untuk 4 Jun dah 60 peratus terjual. 

"Kalau boleh saya tak nak penonton terlalu penuh, sekitar 1,500 hingga 1,600 penonton saja. Kita kena amalkan SOP (prosedur operasi standard) kerana kita baru dapat pelepasan," katanya.

Menurutnya, adalah lebih baik berjaga-jaga kerana jika berlaku jangkitan terbaru, konsert artis terpaksa dihentikan semula.

"Ketakutan tiada untuk konsert ini kecuali terhadap Covid-19. Kita tak tahu benda ini ada di mana. Ia menyerang paru-paru. Semasa berlatih, saya suruh pemuzik sentiasa buat ujian Covid-19," katanya.

Menerusi konsert ini, Hattan akan menyampaikan 26 lagu. Dia juga akan menampilkan Segmen Tribute kepada Datuk M Nasir yang banyak mencipta lagu untuknya.

Tiket-tiket menyaksikan konsert anjuran MEM yang disokong West Ipoh Span Expressway (WISE) boleh dibeli secara dalam talian dengan harga RM188 (upper tier), RM388 (silver), RM488 (gold), RM788 (diamond) dan RM988 (platinum).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Mei 2022 @ 8:59 PM