Najiy Jefri

Kuala Lumpur: Selepas tujuh hari melahirkan cahaya mata pertama, pelakon Mira Filzah dan suaminya Wan Emir Astar berkongsi nama anak lelakinya itu kepada umum.

Menerusi perkongsian di Instagram, pasangan itu bersepakat memilih nama Wan Khair Amir yang membawa pelbagai maksud baik kepada anaknya. 

Dalam foto yang dimuat naik bersama bayi dalam persalinan sedondon bewarna biru lembut, pasangan itu turut membuka akaun Instagram untuk anak mereka, @wankhairamir.

"Hari ini hari ke-7 bersama putera tersayang kami. Dengan rasa penuh keinsafan dan kesyukuran, kami menamakan putera kami — Wan Khair Amir bin Wan Emir Astar.

"Khair membawa makna 'baik, elok', juga diambil daripada nama arwah Papa (Wan Mohammad Khair-il Anuar).

"Amir pula bermaksud 'orang yang memegang perintah, pemimpin', juga diambil sebagai variasi daripada nama kami berdua Emir dan Amirah," tulis Mira dan Emir dalam hantaran di Instagram. 

Menurut Mira, dia juga sudah menjalankan ibadah tahnik dan bercukur untuk anak sulung mereka. 

"Alhamdulillah, ibadah tahnik dan bercukur juga selamat dilaksanakan, jazakkallahu khairan buat Ustaz Don Daniyal kerana meluangkan masa untuk bersama kami dalam majlis keluarga ini.

"Moga sunnah Rasulullah SAW terus hidup dan mekar dalam setiap langkah kehidupanmu wahai putera kami," tulisnya. 

Mira dan Emir berkahwin pada 2 September 2020 dan selamat melahirkan cahaya mata sulung pada 10 Mei lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Mei 2022 @ 7:40 AM