Amy Uks (kiri) bersama Aliff Syukri dan isteri.
Amy Uks (kiri) bersama Aliff Syukri dan isteri.
Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur: "Tak adalah kaya sangat. Bolehlah lepas untuk bayar rumah, pejabat, studio dan lain-lain perkara berkaitan," kata komposer dan pemuzik Amy Uks mengenai kehidupan sekarang selepas lagu ciptaannya untuk Datuk Seri Vida dan Datuk Seri Aliff Syukri 'meletup' di YouTube.

Ura-ura Amy atau Azmi Hassan semakin mewah tercetus apabila dia menerusi Facebooknya bertanyakan pendapat warganet jenis kenderaan pelbagai guna (MPV) mewah yang sesuai dimiliki.

Amy dihubungi bagaimanapun berkata, ia bukanlah bertujuan untuk menunjuk-nunjuk kepada mana-mana pihak.

"Saya hanya nak intai-intai dulu. Tujuannya pun untuk kegunaan pergi show Uks yang jaraknya agak jauh. Biasanya saya jarang terus balik.

"Sekarang kena fikir banyak kerana saya kena balik studio untuk siapkan lagu. Banyak komitmen saya sekarang berbanding dahulu.

"Sejak lagu Ku Ikhlaskan nyanyian Datuk Seri Vida meletup, saya makin banyak ditawarkan buat lagu untuk penyanyi lain," katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya yang menghasilkan lagu Raya Aliff Syukri berjudul Kelepok Raya dan DSV berjudul Muah Muah Raya, dia masih mempunyai komitmen menyiapkan beberapa lagu-lagu mereka.

"Untuk DSV saya kena siapkan sekitar tujuh atau lapan lagu dan untuk Aliff Syukri pula empat lagu. Selainnya adalah dua lagu untuk Ifa Raziah dan satu untuk Baby Shima.

"Sekarang pun ada lima lagi pengeluar produk nakkan lagu saya. Kebanyakan deal mereka diuruskan oleh DSV dan Aliff Syukri. Tak sangka mereka ibaratnya macam pengurus saya pula.

"Mereka pula tolong saya, sekarang orang nampak saya senang sekarang. Ini rezeki saya kerana semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) saya hilang pendapatan selama dua tahun.

"Malah penganjur-penganjur yang anjurkan show dengan kami pun ada yang dah bungkus. Ada juga yang jual semua peralatan konsert yang mereka ada kerana tak mampu nak 'survive'," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Mei 2022 @ 12:04 PM