TAEYONG bekerja keras belajar mengenal ritma untuk bukti kemampuan diri. - FOTO Google
TAEYONG bekerja keras belajar mengenal ritma untuk bukti kemampuan diri. - FOTO Google
HM Digital

ANNYEONGHASEYO!

Ada sebab kenapa setiap agensi pengurusan artis di Korea Selatan jalankan latihan intensif sebelum mengambil seseorang jadi artis mereka. Pelaburan dibelanjakan bukan sedikit.

Justeru, setiap bakat baharu yang ingin mencapai cita-cita menjadi penghibur perlu bekerja lebih keras. Ini disebabkan, hasil peningkatan mereka itulah jadi penentu penting untuk meyakinkan agensi.

Bagi penyanyi Taeyong yang juga anggota NCT, dia gembira kerja kerasnya tidak sia-sia. Dia mendedahkan awalnya dia seorang yang 'pekak' nada, namun ramai percayakan potensi besarnya.

"Berbekalkan pemikiran tidak mahu hampakan orang yang percayakan saya, maka saya berlatih lebih rajin dan lebih masa. Setiap kali saya rasa hilang keyakinan, saya minta nasihat daripada rakan-rakan.

"Apabila bertemu mereka yang setia mendengar kerisauan saya dan suntik semangat, saya berhenti membandingkan diri dengan orang lain. Saya cuma fokus apa yang ingin saya capai.

"Terus-terang, saya adalah seorang yang tak arif pasal nada dan tidak tahu mengenal ritma. Disebabkan tahu kekurangan itu, saya tiada pilihan selain tidak putus asa untuk berlatih lebih keras," katanya.

Selain itu, Taeyong juga sebenarnya tidak pandai menari sebelum ini. Sehinggakan, jurulatih pening kepala untuk mengajarnya kerana tidak pasti bagaimana hendak mulakan.

"Sewaktu di sekolah menengah, saya beritahu ibu bapa saya mengenai hajat mahu masuk sekolah tinggi seni. Ini disebabkan saya sangat seronok apabila menyanyi rap bersama rakan-rakan.

"Namun saya tidak pernah terfikir hobi itu kemudian bertukar jadi realiti. Selepas saya memasuki agensi pengurusan, saya tanamkan dalam fikiran bahawa inilah takdir tepat untuk saya.

"Justeru saya memang sangat teruja apabila orang terhibur dan seronok dengan hasil kerja saya. Ia membuatkan saya lebih berkobar untuk kekal bekerja keras lagi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 January 2022 @ 6:43 AM