Najiy Jefri


SELEPAS menggegarkan dunia muzik tempatan dengan pelbagai lagu hit, bintang hip hop popular, Yonnyboii kembali dengan sebuah lagi karya hebat berjudul NIKI.

Yonnyboii yang baru saja tersenarai sebagai antara peserta akhir anugerah berprestij, Anugerah Juara Lagu ke-36 (AJL36) menerusi lagu ciptaannya berjudul Salahku berkata, NIKI mengisahkan mengenai pasangan hidupnya.

"Lagu ini sebenarnya mengisahkan cinta saya kepada isteri, Nina. Saya tulis lagu ini beberapa hari sebelum kami bertunang sambil membayangkan betapa indahnya hari perkahwinan kami nanti sewaktu duduk di atas pelamin.

"Saat saya menulis lagu ini, saya seperti tidak percaya yang kami bakal bertunang dan hari perkahwinan kami semakin dekat. Saya merancang supaya lagu itu dimainkan di majlis resepsi dan kini ingin kongsikannya dengan seluruh dunia," katanya.

Lagu ciptaan dan lirik sepenuhnya oleh Yonnyboii itu disusun oleh SeaTravel dan diterbitkan SLACK bersama beliau sendiri.

Lagu ini juga dihadirkan bersama sebuah video muzik yang agak luar biasa.

YONNYBOII menghasilkan lagu NIKI sebelum dia bertunang dengan isteri.
YONNYBOII menghasilkan lagu NIKI sebelum dia bertunang dengan isteri.

"Konsep video ini agak berlainan dan temanya membabitkan beberapa unsur saintifik. Walaupun saya berperanan sebagai bintang utama, nantikan kemunculan seorang bintang tamu istimewa dalam video itu nanti.

"Pembikinan video muzik ini makan waktu yang lama. Kami terpaksa menunggu dari jam 11 pagi sehingga penggambaran bermula sekitar jam 5 petang.

"Saya berterima kasih kepada isteri kerana menemani sepanjang penggambaran. Saya juga berterima kasih kepada pengarah video, Thaqif Saadon kerana membantu sewaktu rakaman," katanya.

Yonnyboii juga berharap peminat dan pencinta muzik akan dapat menghargai seni yang dipaparkan selain rakaman yang dipersembahkan di dalam video muzik serta lagu terbabit.

NIKI dilancarkan secara digital di semua platform sejak kelmarin.

Video liriknya pula ditayangkan pada hari sama jam 9 malam, manakala video muzik rasmi boleh ditonton pada 28 Januari ini di saluran YouTube Yonnyboii VEVO.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 January 2022 @ 6:20 AM