Upin Ipin
Upin Ipin
Georgie Joseph

 

Kuala Lumpur: Animasi popular Upin Ipin didakwa ada kaitan dengan penemuan kubur milik karakter itu sehingga menjadi tular dan sohor kini di Indonesia, semalam.

Pengarah Urusan Les' Copaque Production Sdn Bhd, Burhanuddin Radzi tampil memberi penjelasan bahawa pihaknya sudah lali dengan pelbagai idea gila berhubung animasi itu.

"Kami sudah lali dengan idea gila mengenai Upin Ipin dalam kalangan peminat kami memandangkan ia sangat popular. Ramai netizen ambil kesempatan terhadap popularitinya demi menaikkan akaun media sosial mereka.

"Ada kala, cerita yang mereka kaitkan dengan Upin Ipin tidak membuatkan anda berkenan namun ia sukar untuk dikawal. Paling terbaru adalah semalam. Saya terkejut apabila pasukan media baharu kami kongsi artikel berita dari Kompas, Indonesia.

"Mereka nyatakan artikel itu diambil daripada sebuah akaun di TikTok mengenai Upin Ipin meninggal dunia disebabkan kemalangan sewaktu bercuti di Sulawesi, Indonesia," katanya.

Menurut Burhanuddin, dia turut menerima emel portal berita dari Jakarta yang meminta pengesahan daripadanya. 

"Ia membuktikan betapa popularnya Upin Ipin di Indonesia. Saya juga digesa untuk mengeluarkan kenyataan di Facebook mengesahkan Upin Ipin masih sihat dan bersekolah serta peminat tidak patut risau," katanya. 

Ekoran penularan itu, Burhanuddin menyifatkan animasi itu jelas meninggalkan impak yang cukup hebat dan mereka perlu menggalas tanggungjawab besar untuk pastikan Upin Ipin jadi contoh terbaik.

"Apa yang kami teladani daripada hal ini adalah Upin Ipin adalah bukan siri animasi normal. Ia adalah siri luar biasa di mana peminat percaya mereka benar-benar wujud.

"Sebagai penerbit, menjadi tanggungjawab kami untuk pastikan kandungannya bermanfaat kepada generasi akan datang di mana jua mereka berada. Kami berbangga dapat mencapai sehingga tahap sekarang dan pasukan saya akan terus bekerja-keras mengekalkan standard kami," katanya.

Kekecohan itu berlaku selepas akaun @bang_along3110 di TikTok berkongsi video dua kubur bersebelahan antara satu sama lain. Pada batu nisan berwarna biru itu, tertulis nama Ipin yang meninggal pada 2 April 1996, manakala Upin meninggal setahun sebelumnya iaitu 6 Ogos 1995.

Semalam, Les' Copaque Production kemudian tampil menjelaskan bahawa animasi itu hanyalah rekaan semata-mata tanpa menyentuh kisah hidup mana-mana pihak.

"Ia tidak diambil atau diinspirasikan daripada kisah sesiapa yang masih hidup mahupun sudah tiada. Idea asal cerita Upin Ipin adalah dari Hajah Ainon yang juga pelakon suara Opah.

"Setiap cerita ditulis bukan sahaja mudah difahami tetapi juga sarat dengan mesej yang bermanfaat," demikian kenyataan itu.

 

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 January 2022 @ 11:48 AM