DR Lilith Ritter lakonan Blanchett (kiri) dan Stan lakonan Cooper dalam Nightmare Alley.
DR Lilith Ritter lakonan Blanchett (kiri) dan Stan lakonan Cooper dalam Nightmare Alley.

FILEM: Nightmare Alley

PENGARAH: Guillermo del Toro

PENULIS SKRIP: Guillermo del Toro dan Kim Morgan

PELAKON: Bradley Cooper, Cate Blanchett, Toni Collette, Willem Dafoe, Richard Jenkins, Rooney Mara, Ron Perlman, Mary Steenburgen dan David Strathairn

TERBITAN: TSG Entertainment dan Double Dare You Productions

ULASAN: Syafil Syazwan Jefri

(Ulasan filem ini adalah pandangan peribadi penulis berdasarkan pemerhatian dan pengalamannya menonton filem berkenaan)

FILEM berjudul Nightmare Alley adalah filem yang diadaptasikan daripada novel yang pernah diterbitkan pada 1946 dengan judul sama.

Sebelum itu, ia juga pernah diterbitkan dalam bentuk filem pada 1947, diarahkan oleh pengarah, Edmund Goulding.

Versi terbaharu Nightmare Alley pula diarahkan oleh Guillermo del Toro dan dibintangi barisan pelakon hebat antaranya Bradley Cooper dan Cate Blanchett.

Secara ringkasnya, Nightmare Alley mengisahkan mengenai kehidupan lelaki bernama Stanton Carlisle atau Stan yang muncul di satu tapak pesta karnival.

Di situ, Stan ditawarkan pekerjaan oleh pemilik karnival itu iaitu Clem dan melihat pelbagai perkara yang tidak pernah dilihat sebelum ini.

LAKONAN Cooper bawa penonton melalui pelbagai fasa emosi.
LAKONAN Cooper bawa penonton melalui pelbagai fasa emosi.

Antara yang mengejutkannya adalah bagaimana Clem melayan beberapa orang yang terdesak seperti bangkai hidup dan memaksa mereka untuk melakukan aksi yang tidak masuk akal.

Di situ juga, Stan bertemu pasangan Madame Zeena serta suaminya, Pete yang juga kaki botol.

Bersama mereka, Stan belajar beberapa taktik untuk membuat persembahan yang berjaya memukau penonton.

Dengan membunuh Pete, Stan berjaya mencuri buku rahsia taktik yang ditulis dan disimpan Pete sejak sekian lama. Bermula dari situ, dia berhijrah ke kota untuk membina hidup dan kariernya bersama pasangannya, Molly.

Tahun demi tahun, kehidupan Stan mula berubah dengan populariti dan kekayaan memandangkan dia kini dijemput membuat persembahan di hotel terkemuka.

Namun, hatinya tidak pernah puas dan sentiasa dahagakan lebih dari itu, sekali gus mula menggunakan taktik kotor untuk mengaut keuntungan.

Bertemu pakar psikologi bernama Dr Lilith Ritter, Stan akhirnya umpama buku bertemu ruas apabila berdepan satu situasi yang memerangkap dirinya.

ANTARA babak dalam Nightmare Alley.
ANTARA babak dalam Nightmare Alley.

Penghujung jalan cerita ini umpama membawa penonton kembali ke karnival dan Stan pula perlu melalui situasi sama seperti 'bangkai hidup' yang pernah dilihatnya suatu ketika dahulu.

Pengajaran yang jelas dipaparkan dalam filem ini adalah bagaimana ketamakan manusia memakan dirinya.

Kerana harta dan nama, dia umpama lupa akan asal usulnya dan siapa identiti dirinya yang sebenarnya.

Durasi 150 minit bergerak dengan agak perlahan, namun bagi saya secara peribadi, ia sesuai dengan garapan dan cara pengarahnya mengembangkan jalan cerita.

Setiap babak dijelaskan dengan terperinci dan begitu kemas. Lakonan Cooper ternyata benar-benar membawa penonton melalui pelbagai fasa emosi.

Dari rasa simpati, sedih, perasaan cinta antara watak Stan dan Molly, sehinggalah rasa marah apabila Stan mula berubah menjadi individu yang begitu tamak.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 January 2022 @ 6:20 AM