SHIDEE (kiri) dan Vida.
SHIDEE (kiri) dan Vida.
Zaara Talita

Kuala Lumpur: "Saya rasa ada masalah dengan program Gegar Vaganza 8 (GV8) pada minggu ini yang mana peserta 'semput' dikekalkan hanya kerana menyandang status sebagai lagenda?

"Mengapa pula yang bagus disingkirkan hanya kerana mereka pelawak dan dianggap sebagai sekadar memenuhi kuota saja dalam program ini?".

Demikian luahan usahawan kosmetik sensasi, Datuk Seri Vida yang juga pernah menjadi penaja utama untuk beberapa musim program Gegar Vaganza sebelum ini.

Jelas Vida atau nama sebenarnya Hasmiza Othman, permainan program nyanyian sebegitu dilihatnya sudah menjadi lumrah dan bukan perkara baharu.

"Nampak sangat memilih bulu kerana menyimpan dan cuba selamatkan Shidee. Kalau sudah terang-terangan pancit kenapa hendak diselamatkan lagi?

"Biarpun Yassin dan Saiful Apek sekadar pelawak, namun mereka cuba memperbaiki kelemahan setiap minggu. Malah, mereka turut membuat persembahan yang baik setiap kali beraksi di pentas," katanya.

Menerusi paparan di Instagram, jutawan kosmetik itu meluahkan perasaan tidak puas hati terhadap keputusan finalis yang layak ke peringkat Separuh Akhir GV8, malam tadi.

Musim kali ini menyaksikan kemeriahan berganda apabila Astro mengumumkan kehadiran pelawak terkenal Saiful Apek dan Yassin serta kumpulan Nico yang mewakili penyertaan secara duo dan berkumpulan.

GV8 masih mengekalkan format asal penjurian yang diadili berdasarkan sistem pemarkahan 100 peratus oleh barisan juri profesional yang dibarisi Datuk Ramli MS, Hetty Koes Endang dan Datuk Syafinaz Selamat.

Juara GV8 akan membawa pulang wang tunai, RM100,000 berserta trofi manakala tempat kedua dan ketiga masing-masing meraih RM50,000 serta RM30,000 termasuk trofi.

Untuk pemenang tempat keempat, kelima dan keenam pula masing-masing akan menerima hadiah berupa wang tunai bernilai RM20,000, RM15,000 dan RM10,000 serta trofi.

Konsert GV8 disiarkan secara langsung dari Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) selama 10 minggu pada setiap Ahad, jam 9 malam mulai 21 November lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 January 2022 @ 3:27 PM