Aliff Aziz
Aliff Aziz
Zaara Talita

 

Kuala Lumpur: Penyanyi Aliff Aziz menjelaskan dia tidak mempunyai kebebasan atau hak memilih lagu untuk dinyanyikan pada program Gegar Vaganza musim kelapan (GV8) sebaliknya menerima tugasan itu daripada pihak produksi. 

Aliff, 30, atau nama sebenarnya Muhammad Aliff Aziz berkata tidak timbul istilah peserta kegemaran kerana sering mendapat lagu mudah untuk dibawakan setiap minggu.

"Sama seperti peserta lain, saban minggu kami menerima tugasan dan lagu daripada pihak produksi. Mungkin isu ini timbul kerana ada yang terfikir kenapa saya diberikan lagu-lagu begitu.

"Jika dilihat semula, pada minggu ketiga saya perlu menyanyikan lagu Jinbara yang ternyata berbeza dengan genre saya. Sehinggakan, Datuk Shafinaz meminta saya membawa lagu itu dengan berhati-hati. 

"Minggu kelima juga saya dapat lagu yang bukan genre saya. Tapi saya faham dan menghormati semua yang beri pandangan. Cuma kalau kita lihat semula graf, ada waktu lagu susah bukan saya seorang tapi semua peserta," katanya.

Terdahulu, Bella yang juga isteri kepada Aliff meluahkan rasa kurang senang dengan tohmahan segelintir pihak yang mendakwa suaminya sebagai peserta kegemaran pihak Astro.

Menerusi ciapan sama, Bella berkata netizen juga mengatakan suaminya adalah peserta kegemaran Astro kerana sering mendapat lagu yang mudah.

"Selalu cakap Aliff ni kegemaran Astro? Sebab tu dapat lagu senang? Heyy 'come on', sepatutnya kita yang rasa risau sebab ada beberapa peserta dapat lagu menarik. Kalau Aliff ni kegemaran, patutnya Aliff dapat lagu hebat kan?" tulisnya.

Selain Aliff, tujuh lagi peserta masih bersaing di pentas GV8 iaitu Ani Maiyuni, Nikki Palikat, Adibah Noor, Azan Scan, Shidee, Sa.YA dan Suki Low.

GV8 menampilkan Nabil Ahmad dan Jihan Muse selaku pengacara manakala Datuk Ramli MS, Hetty Koes Endang serta Datuk Shafinaz Selamat sebagai juri tetap.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 January 2022 @ 7:34 PM