ZUL Ariffin dan Remy ishak
ZUL Ariffin dan Remy ishak
Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur: Penantian selama 13 tahun dalam bidang lakonan akhirnya membuahkan hasil buat Zul Ariffin apabila diangkat sebagai pemenang Pelakon Lelaki Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-31 (FFM31), malam tadi.

Zul menang kategori itu hasil lakonan cemerlangnya sebagai Adam dalam filem Sangkar arahan Khabir Bhatia.

"Saya gembira kerana impian untuk membawa pulang trofi berprestij ini jadi kenyataan. Tak sia-sia saya datang sini. Saya berusaha ke arah itu.

"Tujuh tahun lalu saya menang Pelakon Lelaki Harapan. Rosyam Nor (Datuk) yang bagi hadiah dan dia kata, 'kalau kau (saya) tak dapat trofi ini (Pelakon Lelaki Terbaik), aku ketuk kepala kau'! Akhirnya hari ini saya dapat juga bawa pulang trofi ini.

"Selama 13 tahun dalam bidang lakonan, tipulah kalau saya kata tak pernah berangan menang trofi ini, tapi untuk Sangkar sangat istimewa," katanya yang pernah menang Pelakon Lelaki Harapan menerusi filem Penanggal dalam FFM26 pada 2014 .

Zul berkata, filem Sangkar memberi kenangan manis buatnya kerana tema yang ditampilkan.

"Sangkar sangat istimewa kerana bukan saja menang banyak trofi malam ini (semalam), malah tema diketengahkan adalah kemaafan.

"Babak mohon maaf yang dilakukan Remy (watak Johan) dalam Sangkar adalah jantung kepada filem ini," katanya.

Tidak hanya Zul, Remy yang bergandingan dengan Zul dalam filem itu turut cemerlang apabila menang Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik.

Remy menerusi hantaran di media sosialnya mengakui kejayaan itu bukan sesuatu yang mudah.

"Pernah dulu arwah ayah tanya, abang Emy bila nak pegang trofi FFM? Bukan kerja senang, lepas jari kaki patah 'training' BJJ dengan koreografer, lepas seksa mental dan fizikal untuk naikkan berat badan dari 78 kilogram (kg) ke 90 kg dalam masa sebulan,

"Lepas 'training fights' siang malam, lepas 'fights on scenes' dengan jari kaki yang patah tapi berlakon macam tiada apa-apa yang berlaku dan lepas ayah pergi tinggalkan dunia. Hari ini ayah… hari ini!"," tulisnya.

Terdahulu, Remy ketika ditemui media berkata, dia bersyukur kerana trofi itu sudah lama diidamkan.

"Ia diperoleh selepas saya bekerja keras dan memperbaiki mutu lakonan dari semasa ke semasa. Saya pernah beberapa kali bergelar calon sepanjang 15 tahun bergelar pelakon, namun akur masih belum ada rezeki untuk menang.

"Saya ada simpan hasrat untuk menang. Alhamdulillah, malam tadi impian saya termakbul," katanya. Filem Sangkar yang diterbitkan Primeworks Studios, Astro Shaw, Infinitus Gold dan MM2 Entertainment juga meraih tiga kategori lain Pengarah Terbaik (Kabir Bhatia); Tatarias Terbaik (Ella Sandera) dan Penataan Seni Terbaik (Nazrul Asraff Mahzan).

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Disember 2021 @ 11:48 AM