Rashidi Ishak
Rashidi Ishak
Najiy Jefri


Kuala Lumpur: "Maka bermulalah 'staycation' 10 hari yang tidak dirancang," kata pelakon Rashidi Ishak memaklumkan dirinya positif Covid-19 selepas mengalami demam teruk selama dua hari.

Rashidi, 48, berkata, berikutan berlaku penularan wabak berjangkit di lokasi penggambaran dia membuat ujian calitan selepas pihak menghentikan penggambaran.

"Apabila pihak produksi menghentikan penggambaran kerana ada kes di lokasi, saya buat ujian saringan dan keputusannya ketika itu negatif. Namun, saya menjalani kuarantin di rumah.

"Kemudian dalam dua hari ini, saya demam teruk dan sakit badan. Jadi, saya memaklumkan kepada pihak produksi mengenai keadaan saya. Mereka terus menguruskan doktor datang ke rumah bagi menjalankan ujian calitan dan kali ini, sah saya positif Covid-19. Doktor minta jangan panik, ambil ubat, awasi keadaan dan akan melaporkan kes saya kepada KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia)," katanya.

Rashidi berkata, dia ke Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) di Nilai, Negeri Sembilan dalam keadaan satu badan dan kepala yang sakit.

Rashidi berkata, pihak produksi ada menghantar stok makanan dan alat oxymeter supaya dia boleh memeriksa kadar oksigen.

Dalam masa sama, Rashidi turut memohon maaf kerana menyumbang kepada statistik kes Covid-19.

"Saya minta maaf menyumbang kepada statistik Covid-19. Terima kasih keluarga dan rakan yang menelefon, menghantar mesej dan membuat panggilan video. Jika saya tidak menjawab bermakna saya tengah tidur dan mabuk ubat.

"Jadi, sekiranya anda ada sebarang gejala, pergilah buat pemeriksaan. Jaga diri dan kekal selamat," katanya.

Baru-baru ini, dua penyanyi iaitu Daiyan Trisha dan Wani Kayrie turut positif Covid-19.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Disember 2021 @ 1:42 PM