Kamal Adli dan Uqasha Senrose. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM
Kamal Adli dan Uqasha Senrose. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM
Zaara Talita
am@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Pelakon Uqasha Senrose, 29,  sebak apabila mengimbas kembali sokongan dan keterujaan yang diberikan oleh adik beradiknya, Nelydia dan Raysha Rizrose menjelang majlis pernikahannya.

Jelas Uqasha, adik-beradiknya sentiasa berada di sisi menemaninya sehingga selesai majlis pernikahan yang berlangsung pada 5 November lalu. 

"Seperti semua sedia maklum, saya, Nely dan Raysha memang rapat. Kehadiran mereka seperti kekuatan dan memberikan saya semangat. Mereka tahu dugaan dan cabaran yang saya lalui sehingga dapat mendirikan rumah tangga.

"Memandangkan semuanya sudah bersiap pada hari nikah, jadi kami tidak mahu menitiskan air mata. Apa yang penting adalah mereka sentiasa menemani saya sepanjang malam sebelum keesokan harinya (5 November).

"Dalam masa yang sama, kami merahsiakan perkahwinan ini atas permintaan keluarga dan menghormati banyak pihak. Apa yang penting semuanya dipermudahkan dan berjalan dengan lancar," katanya. 

Menurut Uqasha, dia dan suami tiada niat merahsiakan pernikahan itu sebaliknya mereka menyegerakan perkara wajib yang hanya membabitkan  keluarga dan rakan terdekat berikutan situasi semasa pandemik Covid-19.

"Alhamdulillah selepas beberapa kali tertangguh sejak Jun lalu iaitu tarikh sepatutnya majlis pernikahan dan resepsi dirancang, akhirnya kami selamat disatukan.

"Apa pun, kami hanya menghormati permintaan ibu bapa selain bersyukur kerana segala-gala urusan ke arah membina masjid ini dipermudahkan," katanya ketika ditemui.

Pada majlis pernikahan bertemakan dalam taman itu, Kamal atau nama sebenarnya Ahmad Kamal Ahmad Adli, 35, sah bergelar suami kepada Uqasha dengan dua kali lafaz dan menyerahkan wang tunai RM22.50 sebagai mas kahwin.

Pasangan mempelai dinikahkan oleh bapa pengantin perempuan, Nik Sen Mat Ripin di sisi jurunikah Tuan Izzuddin Abdul Mutalib tepat jam 9.39 pagi.

 

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Disember 2021 @ 7:13 PM