Zaara Talita
am@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Genap sebulan menyimpan rahsia perkahwinan, pasangan selebriti popular, Kamal Adli, 35, dan Uqasha Senrose, 29 sebenarnya sudah pun selamat bernikah dalam sebuah majlis tertutup di Janda Baik, Pahang pada 5 November lalu. 

Berita gembira itu dikongsi hari ini, menerusi majlis pengumuman yang diadakan di Restoran de Wan, di sini, sekali gus menamatkan desas-desus mengenai hari bahagia mereka yang bertebaran sejak beberapa hari lalu.

Uqasha atau nama sebenarnya, Nik Zaris Uqasha Nik Sen berkata mereka tiada niat merahsiakan pernikahan, sebaliknya menyegerakan perkara wajib yang hanya membabitkan keluarga dan rakan terdekat berikutan situasi semasa pandemik Covid-19.

"Alhamdulillah selepas beberapa kali tertangguh sejak Jun lalu iaitu tarikh sepatutnya majlis pernikahan dan resepsi dirancang, akhirnya kami selamat disatukan sebagai suami isteri.

"Berikutan keadaan semasa dan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) ditetapkan, kami terpaksa mengehadkan jumlah tetamu pada majlis pernikahan.

"Pada masa sama, kami juga mahu menjaga hati keluarga dan sanak saudara yang sememangnya ramai kerana hanya dapat menghimpunkan mereka semua di acara persandingan nanti.

"Apapun, kami hanya menghormati permintaan ibu bapa selain bersyukur kerana segala urusan ke arah membina masjid ini dipermudahkan," katanya pada majlis pengumuman itu.

Pada majlis pernikahan bertemakan dalam taman itu, Kamal atau nama sebenarnya Ahmad Kamal Ahmad Adli sah bergelar suami kepada Uqasha dengan dua kali lafaz dan menyerahkan wang tunai RM22.50 sebagai mas kahwin.

Pasangan mempelai dinikahkan oleh bapa pengantin perempuan, Nik Sen Mat Ripin di sisi jurunikah Tuan Izzuddin Abdul Mutalib tepat jam 9.39 pagi.

Ditanya juga mengenai perancangan bulan madu mereka, Uqasha berkata dia dan suami merancang mengerjakan umrah bersama ke Tanah Suci Makkah tidak lama lagi

"Kami rancang mahu mengerjakan umrah pada 23 Disember ini bersama-sama kerana ia  juga menjadi impian saya  selepas berniat untuk kembali lagi ke Makkah dengan suami pula

"Ketika umrah untuk kali kedua dulu, Kamal dan saya masih dalam proses mengenali hati budi. Jadi saya doa, kalau ada jodoh kami, permudahkanlah dan mahu ke Makkah lagi.

"Jika jodoh panjang, saya mahu kembali semula ke sana bersama pasangan (suami). Insya-Allah, Kamal pun belum pernah ke Makkah dan saya mahu jadi orang pertama membawanya ke Tanah Suci," katanya.

Terdahulu, dalam majlis pernikahan itu, Uqasha menerima tujuh dulang hantaran berbalas tujuh daripada pihak Kamal.

Hampir 100 tetamu hadir terdiri daripada adik-beradik, sanak-saudara serta kenalan rapat kedua-dua mereka seperti Idayu, Datin Nina Juren dan Michael Ang.

 

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Disember 2021 @ 6:49 PM