Yusuf (dua dari kanan) bersama Tiro dalam MLM2021 minggu lalu. FOTO Yusuf Azmi
Yusuf (dua dari kanan) bersama Tiro dalam MLM2021 minggu lalu. FOTO Yusuf Azmi
Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: "Saya ingat mereka datang untuk buat aduan, tapi sebenarnya minta saya jadi tetamu jemputan dalam persembahan.

"Awalnya saya berat juga, selain tidak mahu menghampakan kawan-kawan, saya dapat guna pentas itu untuk beri kesedaran mengenai bahaya ceti haram," kata Pengerusi Persatuan Pengguna Semboyan Malaysia (PPSM) Yusuf Azmi.

Kemunculannya bersama kumpulan Tiro pada minggu suku akhir Maharaja Lawak Mega (MLM) 2021 Jumaat lalu menambat hati penonton.

Yusuf berkata, ini adalah pengalaman kali pertama dirinya sebagai pelakon dan mengakui ia begitu mencabar.

"Saya buat kerja untuk pengguna pandailah. Suruh berlakon saya memang tak tahu.

"Tapi anggota Tiro datang jumpa dan beritahu mahu saya sertai mereka sebagai tetamu undangan, saya fikir baik saya cuba dan kawan-kawan pun tidak hampa," katanya kepada Harian Metro.

Yusuf berkata, jalan cerita kumpulan itu minggu lalu juga kena dengan peranannya untuk membanteras ceti haram dan itu membuatkannya bersetuju untuk membantu.

Katanya, dia berterima kasih dengan kumpulan berkenaan yang sudi mengundangnya bersama dalam pentas yang mempunyai pengikut sendiri.

"Bila difikirkan, elok juga tawaran ini kerana yang penting mesej saya mengenai bahaya along sampai kepada penonton.

"Tapi buat masa ini, cukuplah dengan penampilan kali ini. Insya-Allah kalau ada peluang nanti, saya akan fikirkan. Asalkan ia membawa kebaikan untuk semua," katanya.

Dalam persembahan itu, Yusuf membawa watak sebagai aktivis memerangi along, yang dilihat sesuai dengan peranannya sebagai aktivis masyarakat.

Penampilannya mendapat reaksi positif penonton terutama watak tegas dan keras yang dibawa untuk menangani isu along.

"Saya sudah beri yang terbaik. Mesejnya jangan sesekali terjebak dengan along dan jangan berputus asa jika sudah terperangkap. Ada pihak di luar sana yang boleh membantu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Disember 2021 @ 6:08 PM