Nora dan suami, Dr Rushdi.
Nora dan suami, Dr Rushdi.
Najiy Jefri


Kuala Lumpur: "Perkahwinan tidak boleh dipaksa-paksa. Begitu juga dengan perceraian. Tidak ada seorang manusia pun yang berhak memaksa orang lain bercerai tanpa sebab. Itu dosa besar."

Demikian kata penyanyi Datuk Nora Ariffin, 48, berhubung dakwaan mengatakan dia memaksa suami, Dr Rushdi Ramli menceraikan isteri pertama untuk berkahwin dengannya. 

Nora berkata, dia bersedia bertemu empat mata dengan pihak tidak bertanggungjawab yang tergamak menyebarkan fitnah terhadap dirinya dan suami.

"Saya menyeru kepada individu yang sengaja ingin memburukkan kami, tolong tampil bertemu muka. Mungkin individu ini ada masalah, kita sama-sama bantu.

"Saya ingin tahu apa tujuan sebenarnya menyebarkan fitnah, tuduhan yang tidak tepat dan berasas ini? Lagipun ini adalah hal kehidupan saya.

"Kenapa gunakan media sosial dan akaun palsu untuk sebarkan fitnah? Kalau bertujuan untuk mencari kebaikan, saya sedia mendengarnya.

"Tapi kalau bertujuan untuk meruntuhkan perkahwinan saya. Itu adalah hak suami saya. Hak mutlak seorang suami, tidak boleh dipaksa-paksa," katanya.

Terdahulu, menerusi laporan sebuah portal, Nora

didakwa menyembunyikan tarikh sebenar pernikahannya dengan Pensyarah Kanan, Jabatan Fiqh & Usul, Universiti Malaya itu yang difahamkan sudah hampir dua tahun.

Lebih mengejutkan, tular paparan mesej mengatakan Nora juga meminta suaminya menceraikan isteri pertama.

Bagaimanapun tidak dapat dipastikan status suaminya itu sama ada sudah mempunyai isteri atau duda sebelum berkahwin dengan Nora.

Menurut Nora, pihaknya berhak untuk tidak berkongsi secara terperinci mengenai kehidupan peribadi dan niat dia berkahwin dengan Rushdi adalah kerana Allah.

"Berkahwin itu perkara baik, mendapat pahala, wajar dihebahkan, kerana itulah, saya mengambil keputusan untuk beritahu pada semua bagi mengelakkan fitnah.

"Niat saya betul kerana Allah. Tapi lain pula jadinya. Beritahu salah, tak beritahu pun salah.

"Sebagai seorang selebriti saya juga berhak untuk tidak berkongsi atau terangkan segala hal berkaitan kehidupan peribadi saya, sekiranya tiada keperluan. Itu adalah privasi saya" katanya.

Jumaat lalu, Nora mendedahkan sudah selamat mendirikan rumah tangga dengan kawan baik arwah suaminya, Allahyarham Johan Nawawi iaitu Dr Rushdi Ramli dalam satu majlis tertutup baru-baru ini.

Perkahwinan itu sekali gus menutup gosip kononnya dia pernah bernikah dengan seorang menteri seperti yang bertebaran sebelum ini.

Nora mendirikan rumah tangga bersama Allahyarham Johan juga komposer terkenal pada 1992 dan dikurniakan empat cahaya mata.

Johan meninggal dunia akibat serangan jantung pada 24 Mac 2017 ketika berusia 52 tahun dan pada 13 Disember 2019 pula, Nora diuji lagi dengan pemergian anak kedua, Muhammad Syakir Aliff yang berusia 20 tahun ketika itu. 

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Disember 2021 @ 12:20 PM