DONNIE paparkan kehandalan polis moden.
DONNIE paparkan kehandalan polis moden.
Georgie Joseph

BINTANG aksi Hong Kong, Donnie Yen, 58 sememangnya cukup tangkas dalam setiap babak aksi lasaknya apabila menjayakan filem aksi. Bahkan, aspek itu yang cukup menarik pelakon lain untuk sukakannya.

Tidak terkecuali, dalam filem terbaharu yang berjudul Raging Fire. Donnie mengakui, ia bukan tugas mudah di mana dia sendiri menjadi pengarah bahagian aksi dalam naskhah arahan Benny Chan itu.

Menurutnya, filem itu penuh pelbagai aksi lasak yang semestinya memerlukan ketelitian terperinci. Justeru, dia berusaha memastikan setiap babak berkenaan hidup dan menjadi.

"Dalam Raging Fire, ada banyak babak aksi besar seperti kenderaan kejar-mengejar, tembak-menembak, bahkan pertarungan tangan dengan Nicholas Tse.

"Sebagai pengarah aksi dalam filem itu, adalah menjadi tanggungjawab saya untuk menghasilkan siri aksi antara karakter antagonis dan polis. Babak bertarung terutama pertempuran terakhir dibuat begitu tegang dan meyakinkan," katanya.

Lebih menarik, gandingannya bersama Nicholas itu saja cukup membawa makna besar. Bukan disebabkan kedua-dua mereka nama legenda, bahkan buat kesekian kalinya Donnie dan Nicholas kembali bergandingan selepas lebih sedekad.

"Sudah 14 tahun sejak Nicholas dan saya bekerjasama dalam filem aksi. Dalam tempoh itu, kami menjadi jauh lebih matang sebagai pelakon terutama Nicholas sendiri.

NICHOLAS hidupkan watak antagonis.
NICHOLAS hidupkan watak antagonis.

"Meskipun dia tidak memiliki sebarang latar belakang dalam seni pertahanan diri, pengalamannya terlalu luas. Dalam banyak filem aksi lakonannya sebelum ini, dia menjadi nama yang cukup digeruni dan berbakat besar," katanya lagi.

Dalam filem itu, pasukan polis turut digambarkan sebagai cukup handal dalam seni pertahanan. Meskipun secara realitinya, ia kelihatan agak tidak masuk akal, namun Donnie akui hal itu ada signifikan tersendiri.

Hal terpenting yang ingin dipaparkan dalam watak polis itu adalah menekankan kewibawaan polis moden. Justeru, mereka ingin hidupkan karakter yang lebih handal dan tangkas.

"Saya sangat sukakan filem aksi polis moden. Dari SPL, Flashpoint dan sekarang Raging Fire. Ia sangat berbeza dengan filem aksi seni pertahanan diri termasuk Ip Man.

"Dengan filem aksi polis moden, corak aksinya direka untuk menonjolkan lagi personaliti sesebuah karakter. Contohnya bagaimana polis bertindak balas ketika babak pertarungan, lebih berhati-hati dan peka mengenai keselamatan orang awam.

"Ia berbeza dengan watak penjahat atau antagonis yang boleh menjadi lebih ganas dan bertindak melulu. Jadi, setiap karakter itu masing-masing kelihatan jauh lebih realistik dan hidup," katanya.

BABAK pertarungan dibuat begitu realistik dan berkesan.
BABAK pertarungan dibuat begitu realistik dan berkesan.

Dalam pada itu, Donnie turut menyatakan kekesalannya tidak dapat bertandang ke Malaysia bagi mempromosikan filem itu sendiri. Dia akur dengan kekangan pandemik Covid-19, namun berharap dapat kembali bertemu peminatnya di negara ini.

"Saya sentiasa bersyukur terhadap sokongan yang saya terima daripada peminat di Malaysia. Sejak Ip Man sehingga sekarang, tidak berbelah bagi sokongan diberikan dan saya sentiasa seronok dapat peluang ke sana.

"Namun, menyedihkan apabila disebabkan pandemik Covid-19, tayangan Raging Fire di Malaysia terpaksa ditunda. Agak mustahil juga untuk saya berkunjung sekarang bagi mempromosi filem ini, tetapi harap dapat berjumpa kamu (peminat) di sana apabila situasi semasa semakin stabil," katanya.

Filem Raging Fire sudah memasuki pawagam sejak 2 Disember lalu. Selain Donnie dan Nicholas, filem itu turut membariskan pelakon hebat lain termasuk Qin Lan, Jeana Ho, Prince Mak, Kathy Yuen, Ray Lui, Tony Wu Tsz Tung, Ben Lam dan ramai lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Disember 2021 @ 6:25 AM