Bell Ngasri
Bell Ngasri
Georgie Joseph 


Kuala Lumpur: Pelakon dan pelawak Bell Ngasri, 41, tidak menyangka bahawa ramai tersentuh dengan dialognya tidak pernah terima sebarang anugerah pun sepanjang kerjaya sewaktu skesta Tobat untuk minggu kelapan Maharaja Lawak Mega 2021 (MLM2021), baru-baru ini.

Bell atau nama sebenarnya Ngasrizal Ngasri berkata dia tidak berniat langsung ingin meraih simpati menerusi dialog itu, bahkan sebenarnya beberapa kali mahu menukarnya namun dihalang ahli kumpulan lain iaitu Ajak dan Ropie.

"Awalnya, saya cuma lontarkan dialog itu sekadar suka-suka sewaktu raptai dan sebenarnya segan nak sebut hal sebegitu tapi Ajak dan Ropie suka. Sewaktu nak naik pentas pada Jumaat lalu pun, saya masih cuba cadangkan idea 'plot twist' lain namun mereka nak saya teruskan juga.

"Sejujurnya saya sangat risau dialog itu jadi serius dan tak dapat diterima. Saya takut nanti ada pula yang menyampah, nampak seperti lapar perhatian, dan nak meraih undi namun tak sangka ia berjaya (menyentuh ramai) pula.

"Saya tak pernah fikir mahu meraih simpati pun. Cuma, saya berniat membantu kumpulan Tobat tunjukkan kebolehan kami juga dan mampu bersaing dengan peserta handal lain serta berharap dapat mara ke pentas akhir," katanya.

Bell mengakui, dia merasa kerdil apabila bertanding di MLM2021 apalagi gandingannya Ajak dan Ropie sendiri yang masing-masing memiliki pencapaian hebat sebelum ini di dalam pertandingan itu.

"Jujur, ada sedikit beban untuk saya bersama nama-nama besar seperti mereka dalam MLM2021. Walaupun sudah berzaman saya berada dalam bidang ini sejak kanak-kanak, tahap saya mungkin jauh lebih bawah daripada mereka.

"Saya tak pernah rasa diri berada di tahap lebih tinggi berbanding mereka. Itu pentas mereka dan saya cuma turut serta berkongsi. Yang saya idamkan tidak lain untuk dapat memijak pentas akhir di mana saya belum berpeluang berbuat demikian.

"Minggu kelapan yang juga suku akhir itulah paling jauh saya pernah pergi setakat ini. Dialog yang saya ucapkan itu sebenarnya sebagai tanda terima kasih kepada rakan kumpulan kerana tolong bawa saya bersama," katanya lagi.

Terdahulu, dialog Bell itu jelas mengundang rasa sedih ramai selain menzahirkan kata-kata semangat buatnya untuk terus berjuang sebagai anak seni. 

 

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Disember 2021 @ 5:59 PM