Nora dan suaminya, Dr Rushdi.
Nora dan suaminya, Dr Rushdi.
Najiy Jefri

 

Kuala Lumpur: Penyanyi Datuk Nora Ariffin menafikan segala tuduhan dan fitnah yang mendakwa dia dan suami, Dr Rushdi Ramli sudah berkahwin sejak dua tahun lalu. 

Tidak hanya itu, terdapat juga dakwaan yang mengatakan Nora meminta suaminya itu menceraikan isteri pertama. 

Nora menerusi satu kiriman WhatsApp kepada media berkata, segala tohmahan yang tular di media sosial adalah tidak benar dan fitnah. 

"Astagfirulllahalazim... Semua ini fitnah, tidak benar. Ini saja kenyataan dari saya," katanya ringkas. 

Menerusi laporan sebuah portal berita, Nora dikatakan menyembunyikan tarikh sebenar pernikahannya dengan Pensyarah Kanan, Jabatan Fiqh & Usul, Universiti Malaya yang difahamkan sudah berlaku hampir dua tahun. 

Lebih mengejutkan, tular paparan mesej mengatakan Nora meminta suaminya menceraikan isteri pertama sebelum bernikah dengannya. 

Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan status suami Nora itu sama ada sudah mempunyai isteri atau duda sebelum berkahwin dengannya yang juga ibu tunggal empat anak.

Terdahulu, Nora dalam satu kenyataan memaklumkan dia selamat mendirikan rumah tangga dengan kawan baik arwah suaminya, Allahyarham Johan Nawawi dalam satu majlis tertutup baru-baru ini. 

Perkahwinan itu sekali gus menutup gosip kononnya dia pernah bernikah dengan seorang menteri seperti yang tular di media sosial sebelum ini. 

Nora berkahwin dengan Allahyarham Johan pada 1992 dan dikurniakan empat anak iaitu dua lelaki dan dua perempuan.

Namun, Johan meninggal dunia pada 24 Mac 2017 pada usia 52 tahun akibat serangan jantung dan pada 13 Disember 2019 pula Nora diduga dengan kematian anak keduanya, Muhammad Syakir Aliff yang ketika itu berusia 20 tahun.

 

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Disember 2021 @ 4:33 PM