BUNGA dan Noraniza
BUNGA dan Noraniza
Najiy Jefri

 

Kuala Lumpur: Lagu Intan Payung nyanyian Bunga dan Noraniza Idris yang berjaya mara ke Separuh Akhir Muzik Muzik ke-36 (SFMM36) tidak akan menyaksikan kelibat Noraniza atau mesra disapa Kak Ani memandangkan penyanyi itu berada di Tanah Suci untuk menunaikan umrah.

Berita itu dikongsikan Bunga selepas pengumuman minggu ketiga, 10 lagu terakhir yang berjaya menempah tiket ke SFMM36 yang dijangka berlangsung pada 31 Disember dan 1 Januari depan.

Bunga berkata, biarpun teruja untuk bertanding buat kali pertama di pentas SFMM36, namun dia mengakui sedih apabila tidak berkesempatan untuk menyanyikan lagu Intan Payung itu bersama Noraniza. 

"Sebenarnya saya baru dapat tahu berita ini. Saya dimaklumkan Kak Ani tidak dapat bertanding kerana pada tarikh terbabit, dia menunaikan umrah. 

"Buat masa ini saya masih menanti siapakah penyanyi yang bakal menggantikan Kak Ani kerana pihak pengurusan sedang membuat perbincangan. 

"Tapi, apapun saya sangat teruja dan gementar kerana ini adalah penyertaan pertama saya di dalam pertandingan berprestij ini. Saya tak sangka lagu Intan Payung akan berjaya ke SFMM36,"katanya. 

Menurut Bunga lagi, Noraniza ada memberikan beberapa cadangan penyanyi yang dirasa boleh membawakan lagu duet terbabit, bagaimanapun keputusan masih belum dibuat. 

"Kak Ani ada memberikan beberapa cadangan penyanyi untuk menggantikan posisinya seperti Zizi Kirana dan  Shiha Zikir. 

"Bagaimanapun Shiha tidak dapat menolong kerana lagunya juga berjaya mara ke SFMM36, manakala Zizi pula, saya tidak pasti dia boleh buat atau tidak. 

"Saya pun tak dapat nak bagi info lanjut, tapi mulai sekarang saya perlu membuat persediaan dengan mengambil kelas vokal,"katanya lagi. 

Untuk rekod, Lagu Intan Payung adalah hasil ciptaan Luca Sickta, Bunga dan Amzar Razqa manakala liriknya pula ditulis oleh Bunga dan Siqma. 

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Disember 2021 @ 2:06 PM