Georgie Joseph


 

Kuala Lumpur: Penyanyi Sophia Liana, 31, bakal beraksi mewakili Malaysia pada acara berprestij ASEAN Korea Music Festival Round 2021 (AKMF2021) anjuran Kementerian Hal Ehwal Luar Negara Korea Selatan pada 9 Januari tahun depan.

Sophia atau nama sebenarnya Sophiatul Liana Mohamed Sobri menyifatkan peluang dapat terpilih beraksi di acara itu ibarat mimpi jadi kenyataan. Dia yang bakal mempersembahkan lima lagu kini sedang rancak melakukan segala persiapan rapi.

"Saya sangat teruja dapat mewakili Malaysia sebab ini adalah satu peluang yang terlalu besar untuk saya bersama pasukan, Budak Ngam. Inilah masanya untuk kami tunjukkan kehebatan yang ada dalam industri muzik kita.

"Saya terima berita gembira ini pada pertengahan bulan ini. Pengurus memberitahu profil saya kepada penganjur di Korea Selatan dan dua minggu selepas itu, kami kemudian menerima kata putus daripada pihak di sana dan mereka bersetuju mengambil saya untuk mewakili Malaysia kali ini.

"Untuk persiapan persembahan, pertamanya kami mahu tetapkan muzik terlebih dulu. Kemudian barulah menetapkan konsep, pakaian, aspek teknikal seperti pencahayaan, props, dan lain-lain. Alhamdulillah, semuanya berjalan seperti yang kami rancang," katanya.

Sophia yang juga anggota kumpulan terkenal De Fam turut menyimpan misi besar dalam pembabitannya di AKMF2021.

Selain mahu kembangkan namanya, dia berazam memperkenal serta memartabat keunikan tradisi Malaysia menerusi persembahannya kelak.

"Saya akan membawakan elemen tradisi warisan Malaysia dalam nyanyian rap dan pada masa sama disuntik dengan elemen urban serta hip hop. Namun, sentuhan elemen tradisi itulah yang saya nak sangat tonjolkan kepada penonton supaya mereka faham cara hip hop dari Malaysia.

"Saya sangat berharap persembahan saya nanti berjaya meninggalkan impak yang besar. Rasanya ini satu peluang untuk ke depankan lagi diri saya sebagai selebriti dari Malaysia ke mata dunia.

"Saya nak tunjukkan keunikan cara rap saya, rentak muzik, kreativiti susunan muzik, sesuai dengan identiti diri. Tidak ketinggalan, saya berharap penari dan kru Budak Ngam juga bakal mendapat perhatian besar daripada ramai juga," katanya.

AKMF2021 yang memasuki penganjuran tahun kedua bakal mengekalkan format 'on-tact' iaitu secara virtual dan ditonton dalam talian. Manakala di Korea, penonton dapat menyaksikan acara itu secara langsung di sebuah dewan konsert dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) ketat.

Seramai 10 penyanyi dari negara berbeza di Asia Tenggara (ASEAN) dan beberapa artis terkenal Korea Selatan bakal beraksi pada acara itu kelak.

Persembahan penyanyi ASEAN yang bakal ditayangkan pada festival sebenar itu nanti dirakam terlebih dulu menerusi pra-produksi artis berkenaan masing-masing.

Tahun lalu, penyanyi rap Zamaera terpilih untuk mewakili Malaysia beraksi di AKMF2020.

Siaran langsung acara terbabit ditayangkan menerusi saluran YouTube rasmi ALL THAT MUSIC manakala penonton di Korea Selatan dapat mengikutinya menerusi saluran TV kebangsaan mereka, KBS.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 November 2021 @ 8:17 PM