TANGKAP layar daripada muzik video lagu Tinggalkan Diriku nyanyian Siti Sarah.
TANGKAP layar daripada muzik video lagu Tinggalkan Diriku nyanyian Siti Sarah.
Sudirman Mohd Tahir


"Ini satu 'step' je yang you kena lepaskan. You mintak Allah kuatkan semangat you. Dan insya-Allah kalau you lepas ni, kita akan tengok 'baby; kita."

"You jangan nangis...daddy jangan sedih. Ampunkan dosa-dosa I ya. Love you."

Itu antara perbualan terakhir penyanyi, Allahyarham Siti Sarah Raissuddin dengan suaminya, Shuib sebelum dia ditidurkan akibat jangkitan Covid-19 pada 6 Ogos lalu.

Ia dimuatkan dalam muzik video lagu Tinggalkan Diriku nyanyian Siti Sarah yang dimuat naik di saluran YouTube Shuib Channel sejak semalam.

Lagu ciptaan Aidit Alfian itu dirakamkan pada 2002 dan dilancarkan pada 2003 melalui album Mimpi Pun Sama.

Untuk versi muzik video ini, ia diambil daripada sesi latihan untuk Showcase Siti Sarah pada 2018.

Pemergian Siti Sarah memberi kesan yang cukup mendalam terhadap diri Shuib.

Malah, selepas lebih 100 hari pemergiannya, Shuib mengakui masih sukar untuk 'move on' kerana sering terkenang selain sentiasa merindukan Allahyarhamah isterinya.

"Dalam muzik video ini saya selitkan perbualan akhir bersama arwah untuk memberikan kata-kata semangat dan memujuk arwah untuk 'ditidurkan'.

"Ini adalah detik paling sukar dalam hidup saya sebagai suami dan bapa kepada anak-anak. Perbualan itu adalah tanda pengorbanan besar seorang ibu yang bertarung nyawa untuk melahirkan anak," katanya.

Ia adalah satu tarikh yang akan dikenang Shuib sampai bila-bila. Pastinya kehilangan itu juga meninggalkan kenangan yang teramat sukar untuk dilalui.

Kehilangan itu meninggalkan rasa sepi, kosong dan bagaikan hilang seluruh jiwa mencengkam sanubari lelaki ini yang hanya bertemankan suara dan air mata sejak tarikh itu.

"Enam hari selepas pemergian isteri, saya mendengar rakaman lagu Tinggalkan Diriku yang dirakamkan ketika sesi latihan untuk Showcase Siti Sarah yang diadakan pada 2018.

"Rasa sebak, hiba dan segala rasa hadir tatkala mendengarkan semula lagu ini. Cara penyampaian Siti Sarah begitu berbeza dan istimewa sekali seakan-akan sudah tahu apa yang bakal berlaku. Bait-bait lirik yang cukup indah begitu dirasakan sekarang," katanya.

Muzik video Tinggalkan Diriku yang dihasilkan dalam versi animasi watak Siti Sarah dan Shuib sudah berada di semua platform digital bermula semalam dan turut dimuatnaik di saluran YouTube Shuib Channel semalam.

Dalam tempoh sehari, muzik video berkenaan mendapat lebih 700,000 tontonan dan lebih 2,500 komen.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 November 2021 @ 6:12 PM