Pentas ABPBH34
Pentas ABPBH34

Kuala Lumpur: Anugerah Bintang Popular BH ke-34 (ABPBH34) yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (PWTC KL), di sini, pada 13 November lalu, mencipta sejarah apabila sebanyak 356,304,981 undi diterima sepanjang tempoh kempen undian selama 46 hari.

Sekali gus, ia suatu pencapaian tertinggi sejak lebih tiga dekad acara anugerah pilihan peminat ini dianjurkan. 

Statistik diperoleh daripada Rev Media Group (RMG) iaitu pengendali laman web rasmi ABPB34, www.abpbh.com.my, melalui undian daripada peminat dalam 14 kategori utama dan enam kategori dalam talian.

Laman web itu mencatatkan jumlah halaman dilihat (page views) sebanyak 16,440,800. 

Rekod baharu terbabit mengatasi jumlah undian yang diterima pada ABPBH33 tahun lalu iaitu 174,745,345 undi. 

Kempen undian ABPBH34 dilancarkan mulai jam 12 tengah hari pada 10 September sehingga 3 Oktober lalu iaitu bagi peringkat pencalonan awal Top 20, disusuli undian pusingan akhir, Top 5 mulai 10 Oktober hingga 31 Oktober lalu. 

Bertemakan #KITABERSAMA, ABPBH34 yang dibawakan oleh penaja utama, Xiaomi juga menyaksikan rekod baharu dicipta apabila Janna Nick, 26, yang merangkul trofi Bintang Paling Popular, memperoleh 86,374,777 undi. 

Janna berjaya mengumpul undian tertinggi dalam sejarah penganjuran ABPBH menewaskan calon kegemaran termasuk Haqiem Rusli, Siti Nordiana, Khai Bahar, Siti Saleha dan Ben Amir. 

Dia turut membolot trofi Pelakon Filem Wanita Popular mengetepikan empat calon lain iaitu Sherry Alhadad, Nelydia Senrose, Zahirah MacWilson dan Aprena Manrose.

 Manakala untuk trofi Pengacara TV Popular, Janna menewaskan Azira Shafinaz, Mira Filzah, Sherry dan Jihan Muse. 

Pada ABPBH34, peminat boleh mengundi artis kesayangan dalam 14 kategori utama dan enam kategori dalam talian melalui lapan kaedah termasuk enam cara mengundi bersama penaja utama ABPB34, Xiaomi. 

Kaedah undian secara percuma melalui laman web rasmi ABPBH34, iaitu www.abpbh.com.my; undian melalui langganan akhbar BH cetak dan digital, selain enam kaedah undian bersama Xiaomi. 

Peningkatan tertinggi jumlah undian diterima menunjukkan peminat menggunakan pelbagai cara dan platform untuk mengundi selebriti kegemaran mereka pada edisi ABPBH kali ini. 

Dalam hal ini, jumlah undian tertentu ditetapkan bagi setiap cara mengundi dan jumlah undian, menjadikan ia tidak bersamaan dengan bilangan pengundi. 

Peminat juga boleh mengundi beberapa kali untuk cara undian yang sama dalam tempoh kempen mengundi kerana tiada had ditetapkan. 

Semua terma dan syarat undian dipaparkan dalam laman web rasmi www.abpbh.com.my dan media sosial BH dan TV3 selaku penyiar rasmi sebaik ABPBH 34 dilancarkan pada 10 September lalu. 

ABPBH 34 yang dikendalikan mengikut amalan norma baharu dan mendapat kebenaran Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), mematuhi semua prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan untuk industri kreatif dan tiada penonton.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 November 2021 @ 6:17 PM