Dr Md Nasir (kiri) bersama Jack Yeoh melancarkan Filem Wallet PVOD dan Finas mempromosi filem tempatan ke pentas antarabangsa di GSC Cinema, Tropicana Mall, Kota Damansara. FOTO OWEE AH CHUN
Dr Md Nasir (kiri) bersama Jack Yeoh melancarkan Filem Wallet PVOD dan Finas mempromosi filem tempatan ke pentas antarabangsa di GSC Cinema, Tropicana Mall, Kota Damansara. FOTO OWEE AH CHUN
Georgie Joseph


Petaling Jaya: Pawagam dalam talian pertama tempatan, Film Wallet 'Premium Video On-Demand' (Film Wallet PVOD) yang dilancarkan, hari ini adalah satu revolusi membanggakan bagi industri wayang negara.

Ketua Pegawai Eksekutif, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) Prof Dr Md Nasir berkata, Film Wallet PVOD akan memberi kesan positif kepada ekosistem industri filem tempatan kerana ia adalah platform hiburan digital yang terkini.

"Dengan adanya platform ini, ia akan memberi ruang buat penggiat-penggiat filem yang bukan dikategorikan dalam industri arus perdana. Filem-filem yang khusus untuk festival, filem pendek dan pembikin filem baharu dapat diakses penonton dengan mudah.

"Diharap ia dapat menggalakkan lagi penghasilan karya-karya tempatan yang kreatif, bermutu dan pelbagai topik penceritaan," katanya selepas melancarkan platform itu, di sini, hari ini.

Sementara itu, pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Film Wallet PVOD, Jack Yeoh berkata, platform itu sangat mudah diakses tanpa perlu langganan sekali gus membezakannya daripada platform tonton wayang digital lain.

"Penonton tidak perlu melanggan platform Film Wallet PVOD dan hanya perlu membayar filem yang mereka nak tonton. Filem itu boleh ditonton bila-bila masa dalam tempoh tertentu.

"Platform ini juga bertujuan menjadi inisiatif penting dalam merangsang pertumbuhan industri filem tempatan. Ia juga turut dilancar ke dua negara lain di Asia Tenggara. Kami berazam menyumbang pertumbuhan ekonomi filem tempatan dengan membawa kandungan kita ke peringkat antarabangsa," katanya.

Film Wallet PVOD menawarkan ratusan kandungan terkenal dari seluruh dunia termasuk Amerika Syarikat, China, Eropah, Hong Kong dan lain-lain.

Penonton boleh mendapatkan filem berdefinisi tinggi dengan harga serendah RM1.90 setiap filem.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 November 2021 @ 3:10 PM