Darling Ngasri (kiri) dan Anne Ngasri (kanan) bersama Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat, Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid
Darling Ngasri (kiri) dan Anne Ngasri (kanan) bersama Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat, Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid
Ridzuan Abdul Rahman
mohamadridzuan@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Penerbit dan pelakon Darling Ngasri bersyukur dianugerahkan Pingat Kebesaran daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) pada majlis yang berlangsung di sebuah hotel di sini, semalam. Menurutnya, anugerah yang disampaikan Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat, Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid itu adalah penghargaan terhadap usahanya mengangkat peranan JBPM menerusi karyanya selama ini.

"Kami bekerjasama erat dalam membantu mempromosikan program-program berkaitan bomba. Antara karya yang dihasilkan ialah iklan bomba, novel adaptasi, drama bersiri Hero, filem Hero dan yang terbaru telefilem sempena Aidilfitri di TV3 berjudul Fateema Azahra.

"Ini adalah anugerah kedua dari JBPM kerana pada 2018 saya dianugerahkan Pingat Jasa Bomba," katanya kepada Harian Metro.

Darling atau nama sebenarnya Nasreen Ngasri berterima kasih kepada Mohammad Hamdan serta semua warga JBPM atas penghargaan yang diberikan.

"Ini membakar semangat buat saya untuk terus menghasilkan karya-karya menarik berkaitan JBPM pada masa akan datang.

"Tak lupa juga, terima kasih saya buat semua pasukan Ns Star Studio dan karyawan yang pernah terbabit dalam projek-projek bersama bomba. Saya dedikasikan anugerah ini buat mereka semua di belakang tabir yang bekerja keras bersama saya selama ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 November 2021 @ 12:30 PM