Janna Nick masuk hospital.
Janna Nick masuk hospital.
Norhayati Nordin


Kuala Lumpur: Akibat mengalami muntah berterusan kerana vertigo, pelakon dan pengacara popular, Janna Nick, 26, dimasukkan ke sebuah hospital untuk rawatan lanjut sejak Sabtu lalu.

Janna menerusi hantaran di Instagram memaklumkan keadaan kesihatannya kini berada dalam keadaan baik dan tidak ada apa yang perlu dibimbangkan.

"Saya baik-baik sahaja, tiruskan muka? Makan muntah, makan muntah. Tu la korang 'complain' sangat kita gemuk," tulisnya pada kapsyen foto dimuat baik.

Melihat foto dikongsi di Instagram itu, menunjukkan Janna atau nama sebenarnya Nurul Jannah Muner sedang menikmati bubur di atas katil dengan senyuman dan membuat tanda 'peace'.

Menurut Janna, sejak menghidap vertigo, dia berhadapan masalah selera makan terganggu dan ia tidak pernah dialaminya sebelum ini walaupun sakit.

"Selalu kalau sakit, saya tetap kuat makan. Kali ini, baru kenal istilah tiada selera makan. Ini kali pertama saya berdepan masalah vertigo dan tidak pernah mengalami situasi seperti ini lagi," katanya.

Terdahulu, Janna dikatakan mula kurang sihat dan mengalami masalah vertigo itu selepas dia menyertai perlumbaan kereta Toyota Gazoo Racing Malaysia di Sepang, baru-baru ini.

Katanya, masalah vertigo yang dialami itu sama sama sekali tidak ada kena-mengena dengan perlumbaan kereta berkenaan.

"Saya akan menjalani ujian imbasan Pengimejan Resonans Magnetik (MRI) nanti dan harap-harap tiada apa-apalah. Mungkin juga masalah vertigo saya ini disebabkan ubat kemurungan diambil.

"Namun, untuk sihat dan pulih sepenuhnya kembali dijangka ambil masa antara tiga hingga empat bulan. Allahu lamanya, tapi saya harap dapat pulih secepat mungkin," katanya.

Pada 13 November lalu, Janna baharu meraikan kejayaan manisnya yang dinobatkan Bintang Paling Popular di Anugerah Bintang Popular BH ke-34 (ABPBH) dengan jumlah undian diterima sebanyak 86 juta daripada peminatnya dalam dan luar negara.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 November 2021 @ 7:02 PM