POSITIF, Suki akan menerima kritikan dengan hati terbuka.
POSITIF, Suki akan menerima kritikan dengan hati terbuka.
Norhayati Nordin


KEPUTUSAN dibuat penyanyi Suki Low, 32, yang mendirikan rumah tangga ketika namanya di puncak populariti pada 2012 sememangnya sangat berani. Malah, selepas itu dia perlahan-lahan menyepi diri.

Hampir sembilan tahun disangka hilang dari radar industri hiburan, siapa sangka Suki juga ibu kepada tiga anak kini mahu kembali semula memeriahkan industri seni tanah air.

Ditemui baru-baru ini, Suki berkata, dia sudah mempersiapkan diri dari segi mental dan fizikal untuk berhadapan saingan peserta lain di pentas Gegar Vaganza musim kelapan (GV8) yang bermula esok.

Berasakan dia mampu memberi saingan sengit, Suki berkata, apabila membuat keputusan mahu menyertai GV8, maka dia sudah sematkan di hatinya akan berusaha menampilkan persembahan mantap.

"Memang saya dah lama tak muncul dalam acara hiburan dan program televisyen, tetapi saya sebenarnya masih menerima tawaran persembahan nyanyian dari syarikat korporat untuk majlis makan malam.

"Saya bukanlah tak menyanyi langsung, tapi hanya mengambil tawaran persembahan sesuai. Ini kerana, saya sudah ada keluarga dan anak-anak kecil yang perlu diuruskan penjagaan mereka.

"Tapi saya bersyukur suami, Jeremy Chong sangat memahami dan dia pun tahu betapa sibuknya kerja dalam industri seni. Jadi, dia tidak mendesak atau menghalang apa saja keputusan yang saya buat," katanya.

Suki yang juga juara program realiti One In A Million musim pertama pada 2006 berkata, apa yang dilakukannya selama ini sememangnya buat keluarga. Dia lebih selesa menguruskan penjagaan anak-anak sendiri.

Mengulas mengenai persaingan dalam GV8, Suki berkata, dia selama ini sangat kagum dengan mutu kemantapan vokal Adibah Noor. Malah, katanya dia tidak pernah menduga bahawa akan berentap di atas pentas sama dengan Adibah.

"Ketika bertemu Adibah dan bertanya khabar kepadanya, saya ingatkan dia salah seorang juri pertandingan ini. Malah, apabila mendapat tahu dia pun adalah peserta, saya terkesima dan macam tidak percaya.

"Kehebatan vokal Adibah, bagi saya semua orang tahu dan tidak diragui hebatnya. Tapi, untuk saya sendiri cuba memberi saingan kerana tahu di mana kekuatan diri sendiri dan takkan mudah putus asa," katanya

Ditanya mengenai penerimaannya terhadap kritikan juri profesional dan netizen, Suki berkata, dia seorang yang berfikiran terbuka.

Katanya, dia percaya setiap daripada juri itu mempunyai pandangan masing-masing kerana pakar dan profesional

"Saya okay saja dengan setiap kritikan. Malah, pada usia sekarang saya sudah cukup matang untuk menerima sesuatu kritikan itu. Bagi saya, paling utama kena cuba memberi persembahan nyanyian terbaik," katanya.

Suki dan Jeremy yang berkahwin pada 2012, kini bahagia dengan tiga cahaya mata iaitu Ethan, 7, Elli, 3 dan Arween yang berusia 11 bulan.

Ketika aktif menyanyi dulu Suki juga popular dengan lagu Berdiri, Untuk Kamu dan Terlalu Mencintaimu.

Selain Suki, pentas GV8 turut disertai Adibah Noor, Nikki Palikat, Aweera, Azan Scan, Datuk Fazley Yaakob, Shidee, Bandi Amuk, Aliff Aziz, Ani Maiyuni, Upiak Isil Saiful Apek dan Yassin Senario serta kumpulan Nico akan dinilai tiga juri profesional iaitu Datuk Ramli MS, penyanyi legenda Indonesia, Hetty Koes Endang dan guru vokal, Datuk Syafinaz Selamat.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 November 2021 @ 6:45 AM