Suki Low. FOTO Aziah Azmee
Suki Low. FOTO Aziah Azmee
Norhayati Nordin


Kuala Lumpur: Juara program realiti One In A Million musim pertama, Suki Low, 32, tidak pernah berundur dari kerjaya nyanyian selepas mendirikan rumah tangga dengan pengurusnya, Jeremy Chong pada 2012.

Suki ketika ditemui berkata, dia masih menyanyi tetapi memperlahankan kerjaya itu dengan menerima tawaran tertentu kerana memberi tumpuan kepada tiga orang cahaya mata iaitu Ethan, 7; Elli, 3; dan Arween yang kini berusia 11 bulan.

"Selama ini saya ada saja menyanyi tetapi kebanyakannya dalam majlis tertutup. Saya tidak ambil banyak tawaran kerana mahu beri tumpuan menjaga anak-anak kerana mereka cepat besar.

"Saya tak naklah kerana sibuk bekerja, jadi kurang masa dengan mereka sebab setahu saya anak-anak apabila semakin membesar sudah kurang mahu keluar ikut ibu bapa ke mana-mana.

"Macam anak sulung saya, Ethan, dia dah susah nak ikut jika diajak ke mana-mana. Jadi, untuk kerjaya seni memang saya pilih memperlahankannya demi anak-anak yang masih kecil," katanya kepada Harian Metro.

Ditanya mengenai pembabitannya dalam Gegar Vaganza musim kelapan (GV8), Suki berkata, dia ambil peluang menyertainya kerana mahu mencabar keupayaan diri menyanyikan pelbagai genre lagu dan dinilai barisan juri profesional.

"Saya sebenarnya mendapat tawaran sertai GV sejak tahun lalu, tapi tidak dapat menyertainya ketika itu kerana sarat hamil anak ketiga. Jadi, untuk peluang kali ini saya fikir tidak wajar untuk melepaskannya lagi.

"Suami saya pun selama ini tidak pernah menghalang dan sentiasa menyokong. Cuma, saya sebagai ibu yang mahu memberi fokus dan lebih masa pada menjaga anak-anak di rumah," katanya.

Mengulas mengenai anaknya, Suki berkata, mereka belum diberitahu yang dia menyertai GV8.

Katanya, dia yakin anak-anak akan terkejut, tetapi tidak mengapa kerana detik itu pasti menghiburkan.

Suki yang pernah menghasilkan album berjudul Akhirnya dan popular dengan lagu Berdiri, Untuk Kamu dan Terlalu Mencintaimu, pada ketika ini turut mengusahakan perniagaan tempahan kek dan bunga secara dalam talian.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 November 2021 @ 3:22 PM