JANNA Nick dan Dini Schatzmann
JANNA Nick dan Dini Schatzmann
Syafil Syazwan Jefri


Kuala Lumpur: Pelakon dan pengacara, Janna Nick mengakui perlu meneliti dengan terperinci sebelum membuat keputusan untuk melangkah ke alam perkahwinan dengan kekasihnya, Dini Schatzmann.

Janna berkata, banyak aspek perlu dititikberatkan antaranya karier dan tanggungjawab apabila sudah berkeluarga.

"Buat masa sekarang, karier Dini juga baru saja bermula. Kami berdua bukanlah lahir daripada keluarga 'kayangan' (berada). Kami tak lahir dalam rumah yang diperbuat daripada emas. Jadi, nak mendirikan keluarga adalah satu perancangan berat buat saya. Saya juga sedikit sensitif apabila mendengar perkataan keluarga," katanya kepada Harian Metro.

Menurut bekas pengacara Melodi itu, perancangan untuk berumah tangga juga membabitkan tanggungjawab untuk keluarga dan anak-anak pada masa akan datang.

"Semua itu perlu dirancang dengan teliti untuk memastikan kami dapat memberikan masa kepada keluarga serta anak-anak.

"Buat masa sekarang, saya belum nampak semua itu dan kami berdua perlukan masa untuk fokus," katanya.

Janna yang baru sahaja diumumkan sebagai Bintang Paling Popular di Anugerah Bintang Popular BH ke-34 (ABPBH34) Sabtu lalu diuji apabila Dini dimasukkan ke hospital akibat demam panas dan jangkitan kuman sehari selepas itu.

Di Instagram, Janna memuat naik video pendek berdurasi 15 saat memaparkan keadaan terkini Dini yang berada di katil hospital dengan kesan bintik-bintik merah di bahagian lengannya.

Dalam laporan Harian Metro semalam, Janna memaklumkan keadaan Dini kini semakin pulih.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 November 2021 @ 11:27 AM