ZAM Azmi tidak kisah lakonan filem pertamanya jadi kritikan netizen
ZAM Azmi tidak kisah lakonan filem pertamanya jadi kritikan netizen
Syafil Syazwan Jefri

YANG bulat datang bergolek, yang pipih datang melayang.

Begitulah rezeki yang tidak dijangka dan diterima pelakon baru, Zam Azmi apabila dirinya terpilih bagi membintangi filem Budak Kripto yang juga filem sulung lakonannya.

Siapa sangka, walaupun baru setahun jagung berada di dalam industri hiburan dan pernah menggalas beberapa tanggungjawab sebagai pelakon tambahan, Zam kini mampu mengukir senyuman kerana sudah bergelar pelakon filem.

Berkesempatan menemubual pelakon berusia 29 tahun ini, Zam berkongsi perjalanannya sebelum layak menyandang gelaran sebagai tunjang utama Budak Kripto arahan Din CJ itu.

"Awalnya, saya menyertai kelas yang dianjurkan A&S Pictures dan kesemua jumlah peserta adalah 1,000 orang. Kemudian, jumlah itu disaring kepada 20 orang.

"Alhamdulillah, dalam 20 orang terakhir itu, saya terpilih untuk memegang watak utama sebagai Putra dalam Budak Kripto," katanya.

Menurutnya, dia juga tidak menyangka bahawa hala tujunya kini adalah sebagai pelakon memandangkan pintu rezekinya ketika mula bertapak dalam industri seni adalah dalam bidang muzik.

"Rezeki untuk masuk ke dalam dunia lakonan ini juga umpama bidan terjun kerana saya memulakan langkah dalam seni sebagai pemuzik.

"Tapi, saya anggap itu adalah rezeki dan dalam lakonan. Saya mula berlakon sebagai pelakon tambahan untuk beberapa karya antaranya Amukan Pocong dan satu lagi filem yang belum ditayangkan iaitu The River Warrior," katanya.

Menjadi pelakon utama filem Budak Kripto juga meletakkan Zam sebagai sasaran netizen apabila mereka melontarkan pelbagai komen pedas mengenai kehadiran filem itu.

Menurut Zam, komen dan kritikan daripada netizen itu boleh menjadi sesuatu yang bermanfaat dan mungkin juga merugikan.

"Saya sendiri sebagai pelakon utama sudah bersiap sedia andai kata ada yang pergi menonton dan tak kenal siapa saya. Sebagai pelakon, saya hanya menjalankan tanggungjawab saya.

"Mengenai komen-komen netizen sebelum filem ini ditayangkan, ia boleh menjadi satu kelebihan atau kekurangan. Kelebihannya, orang akan tahu apabila filem ini disebut-sebut dan nama Budak Kripto ditularkan.

"Dari satu sudut berbeza, saya juga tidak menolak sekiranya orang hanya menulis komen di media sosial, namun takkan datang ke pawagam untuk menonton

"Apa pun, saya berharap agar kehadiran filem ini akan memberi manfaat dan mesej untuk mendidik masyarakat mengenai mata wang kripto dapat diterima dengan baik," katanya.

Selain Zam, Budak Kripto turut dibintangi Nurul Huda sebagai pelakon utama di samping barisan pelakon lain antaranya Allahyarham Mamat Khalid, mendiang Acappan, A Galak, Liza Abdullah dan ramai lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 November 2021 @ 6:20 AM