ERY Azree bersama Siti Nordiana
ERY Azree bersama Siti Nordiana
Sudirman Mohd Tahir


Kuala Lumpur: "Terpulang pada individu untuk mentafsir baju itu. Semua orang ada hak untuk kata suka atau tak."

Itu kata pereka fesyen Ery Azree dari Lumiere Concept apabila busana yang digayakan penyanyi Siti Nordiana atau Nana pada malam kemuncak Anugerah Bintang Popular BH ke-34 (ABPBH 34), Sabtu lalu menjadi bahan sindiran dan kritikan netizen di laman sosial.

Ery Azree berkata, busana itu dihasilkan mengikut piawaian dan kehendak Nana dan peminat.

"Semua orang ada cita rasa masing-masing. Untuk saya yang mereka baju ini saya sangat meninitkberatkan orang yang memakainya. Pertama orang yang nak pakai kena selesa dan yakin dengan apa dia nak pakai. Kedua saya mengikut piawaian yang ditetapkan oleh si pemakai atau artis. Ini kerana tak semua artis suka apa kita buat. Artis ada hak untuk cakap ya atau tidak. Jadi saya kena dengar pendapat artis itu.

"Yang ketiga, saya tak peduli pun apa orang nak komen. Untuk ABPBH 34, saya lebih ambil berat mengenai peminat. Ini kerana tanpa peminat Nana tidak ada di pentas itu. Saya lebih utamakan apa disukai peminat. Nana berdiri atas pentas atas undian peminat. Jadi, saya suka dengar dan ikut kemahuan peminat. Kalau saya buat ikut suka hati saya dan peminat tidak puas hati, ia akan mendatangkan masalah kepada Nana juga," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Ery Azree, tidak semua artis mampu menggayakan rekaan yang 'berat' atau di luar kebiasaan mereka.

"Saya buat baju itu mengikut standard dan kehendak artis dan peminat. Bukan saya main buat saja. Kalau ikut saya, saya ada cita rasa sendiri, tapi tidak boleh nak buat macam itu. Bagi saya, tak semua artis boleh bawa rekaan 'berat'. Pada pendapat saya, Nana tak boleh bawa yang terlalu 'berat', itu yang buatkan saya memilih jalan selamat dan di tengah-tengah. Supaya ia berlaku adil, antara peminat dan orang lain. Saya tak boleh terlebih atau kurang," katanya.

Dalam masa sama, Ery Azree juga tidak ambil serius akan semua komen yang dilemparkan pada rekaannya.

"Semua komen di laman sesawang dan portal, saya tak ambil serius. Selagi yang melontarkan komen tidak menjejaskan apa-apa pada saya, saya okay saja. Mereka berhak bagi komen mengenai apa mereka suka dan tak," katanya.

Terdahulu, seorang pengguna akaun di Twitter membuat ciapan yang mengkritik baju dipakai Nana pada ABPBH 34 yang lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 November 2021 @ 4:12 PM