Adibah Noor
Adibah Noor
Norhayati Nordin


Kuala Lumpur: Penyanyi dan pelakon, Adibah Noor, 51, mengesahkan masalah saraf iaitu bell's palsy yang pernah menyerang bahagian muka sebelah kirinya sebelum ini sudah sembuh sepenuhnya.

Terdahulu, Adibah pernah dilaporkan mengalami masalah itu pada Disember tahun lalu yang memerlukan dia menjalani rawatan fisioterapi sebanyak 12 sesi.

Adibah ketika ditemui berkata, dia bersyukur masalah bell's palsy itu sudah pulih sepenuhnya dan dia juga mampu menyanyi dengan baik untuk bersaing dalam Gegar Vaganza musim kelapan (GV8) bermula 21 November ini.

"Alhamdulillah, ia dah lama sembuh. Nyanyian saya pun dah tak kacau dah. Kalau dulu, ada juga tergigit- tergigit lidah dan jadi pelat. Sekarang, alhamdulillah saya sudah cukup sembuh.

"Bagaimanapun, kini saya kena buat banyak latihan vokal sebab dah lama sangat tak menyanyi yang kiranya boleh kata 'office dah lama tak masuk' (pentas nyanyian) dan kedua, saya juga dah lama tak menyanyi secara 'live' di televisyen," katanya kepada Harian Metro.

Adibah yang pernah popular dengan lagu Terlalu Istimewa berkata, ia menjadi antara cabaran getir untuknya yang harus diatasi sepanjang persaingan GV8 itu, apatah lagi dia melihat saingan sengitnya adalah penyanyi, Nikki Palikat.

Adibah berkata, dia juga berasakan pembabitan Shidee, Bandi Amuk dan Aweera juga tidak kurang hebat kerana masing-masing memiliki kelebihan vokal tersendiri.

Katanya, dalam pertandingan peluang itu sama untuk semua orang.

"Kena buat betul-betul dalam persembahan. Kalau buat silap, habislah. Kadang-kadang benda ini kita tak jangka sebab kita ingat dah bagus tapi malam persembahan masih ada kesilapan.

"Jadi, saya akan cuba jadi 'anak murid' yang bagus kali ini. Apa saja genre lagu yang disuruh nyanyi, saya pasti mencubanya dan tidak akan sesekali memasukkan aura 'protes' seperti selalunya yang sudah orang sedia maklum mengenai saya," katanya.

Adibah berkata, dia juga sudah bersedia menerima kritikan daripada juri walaupun pedas kerana menganggap mereka adalah orang yang pakar.

Katanya, untuk persaingan GV8 ini dia berhasrat menyanyikan lagu rock pernah dinyanyikan penghibur lelaki seperti kumpulan Fotograf, Visa dan Rahim Maarof.

Adibah berkata, dia belum pernah menyanyikan lagu- lagu berkenaan dalam persembahan dan sangat meminatinya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 November 2021 @ 4:40 PM