REDZA RAHADIAN
REDZA RAHADIAN
Agensi

Jakarta: Presiden Indonesia, Jokowi atau Joko Widodo bangga dengan kemampuan empat filem Indonesia yang meraih penghargaan di pelbagai festival filem antarabangsa.

Jokowi berkata, beliau kagum industri perfileman Indonesia tetap menunjukkan kemampuan biarpun terkesan dengan pandemik Covid-19.

"Saya sangat menghargai empat filem Indonesia yang memperoleh penghargaan tertinggi di festival-festival filem terbaik di dunia," katanya ketika merasmikan Festival Filem Indonesia 2021, semalam.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kejayaan filem Seperti Dendam, Rindu Harus Dibayar Tuntas karya Edwin yang meraih Golden Leopard, penghargaan tertinggi di Festival Film Locarno.

Jokowi juga menghargai filem Yuni karya Kamila Andini yang meraih Platform Prize di Festival Filem Antarabangsa Toronto 2021.

Filem Seperti Dendam, Rindu Harus Dibayar Tuntas diadaptasi dari novel Eka Kurniawan dan dibintangi Marthino Lio (sebagai Ajo Kawir), Ladya Cheryl (Iteung), Reza Rahadian (Budi Baik), Ratu Felisha (Jelita) dan Sal Priadi (Tokek).

Selain memuji dua filem terbabit, Jokowi turut bangga kerana filem Laut Memanggilku arahan Tumpal Tampubolon menjadi filem pendek terbaik di Festival Filem Antarabangsa Busan.

Beliau turut memuji filem Dear to Me karya Monica Vanesa Tedja yang ditayangkan di Open Doors: Shorts di Festival Film Locarno dan meraih penghargaan Filem Pendek dan Animasi Terbaik.

"Ini sangat luar biasa. Sekali lagi, saya sangat menghargai dan berharap penggiat industri perfileman Indonesia terus memupuk mimpi besar menguatkan kerjasama dengan pusat-pusat perfileman dunia," katanya.

Jokowi yakin industri perfileman Indonesia boleh terus berkembang. Beliau meminta supaya penggiat seni tempatan terus mengangkat cerita unik dan tempat menarik dari dalam negara.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 November 2021 @ 12:00 PM