Barisan peserta GV8. FOTO Aziah Azmee
Barisan peserta GV8. FOTO Aziah Azmee
Norhayati Nordin


Kuala Lumpur: Program realiti popular Gegar Vaganza musim kelapan (GV8) kali ini membariskan 13 peserta dari tiga negara iaitu Malaysia, Singapura dan Indonesia.

Malah, enam daripadanya ialah peserta solo lelaki, lima wanita termasuk dua tampil secara duo atau berkumpulan.

Peserta lelaki terdiri daripada Aweera, Azan (Scan), Datuk Fazley Yaakob, Shidee, Bandi Amuk dan Alif Aziz mewakili Singapura.

Lima peserta wanita ialah Adibah Noor, Ani Mayuni, Suki, Nikki dan Upiak Isil dari Indonesia. Manakala, peserta duo adalah Nico dan dua pelawak senior iaitu Saiful Apek dan Yassin mewakili Kumpulan Senario.

Bagi Shidee, dia akan cuba memberi yang terbaik dalam persembahannya untuk menghiburkan peminat.

"Saya masih aktif menyanyi lagi dan pembabitan dalam GV8 ini untuk menghiburkan peminat dan penonton. Saya akan cuba memberi terbaik," katanya.

Kumpulan Nico juga optimis dalam menggalas tanggungjawab mereka untuk persaingan dalam GV8 ini. Katanya, mereka akan cuba sebaik mungkin.

"Apa saja genre lagu kami akan cuba jika Nico berpeluang. Kami sedia mencuba dan insya Allah akan usaha hiburkan penonton," katanya. 

Musim ini juga masih mengekalkan format asal penjurian yang diadili berdasarkan sistem permarkahan 100 peratus juri profesional. 

Barisan juri tetap terdiri daripada pengarah muzik tersohor, Datuk Ramli MS, penyanyi legenda Indonesia, Hetty Koes Endang dan guru vokal berpengalaman, Datuk Syafinaz Selamat.

Edisi kali ini turut mengekalkan pengacara musim terdahulu iaitu Nabil Ahmad dan Jihan Muse. 

Konsert mingguan GV8 akan mula berlangsung dari Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) selama 10 minggu pada setiap Ahad, jam 9 malam mulai 21 November 2021 ini dan disiarkan Astro Ria. 

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 November 2021 @ 7:46 PM