Poster filem terbitan Zamzuri.
Poster filem terbitan Zamzuri.
Syafil Syazwan Jefri

Kuala Lumpur: Poster filem Budak Kripto menerima kecaman warganet yang menganggap ia ketinggalan zaman.

Penerbit filem itu, Zamzuri Mohammed Tahir bagaimanapun menerima kritikan itu secara terbuka selain menjelaskan ia adalah strategi pemasaran yang menggunakan teknik psikologi berbalik atau 'reverse psychology'.

"Ini adalah 'reverse psychology' dan strategi pemasaran untuk filem ini. Memang saya nak biar orang bercakap dan secara tak langsung, orang tahu akan kemunculan filem Budak Kripto ini," katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, ada mesej yang ingin disampaikan di sebalik poster yang kelihatan seperti poster filem DVD yang popular sekitar tahun 1990-an itu.

"Jalan cerita Budak Kripto menyentuh mengenai skim cepat kaya yang pernah menjadi bualan ramai sekitar tahun 1990-an.

"Pada waktu itu jugalah filem DVD begitu popular dan secara tak langsung, ia juga sebenarnya berkaitan. Penampilan pelakon utamanya, Zam Azmi sebagai Putra di dalam poster tidak ada dalam filem. Itu sebenarnya adalah watak sebenar watak Putra yang 'merompak' duit orang kampung melalui skim cepat kaya," katanya.

Zamzuri bagaimanapun bersyukur kerana trailer filem itu sudah mencecah hampir 50,000 tontonan dalam masa sebulan.

"Disebabkan ramai yang memperkatakan mengenai poster itu, secara tak langsung Budak Kripto dipromosikan dan trailer yang dimuat naik ke YouTube juga ditonton hampir 50,000 dalam masa sebulan," katanya.

Budak Kripto dbintangi pelakon baru, Zam Azmi dan Nurul Hida di samping barisan pelakon lain antaranya Allahyarham Mamat Mamat Khalid, mendian Acappan, A Galak, Liza Abdullah dan ramai lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 November 2021 @ 8:05 PM