Fadlan bersama Julie Anne.
Fadlan bersama Julie Anne.
Najiy Jefri


Kuala Lumpur: Manusia hanya mampu merancang, tapi semuanya atas ketentuan Allah SWT.

Itulah gambaran yang sesuai untuk mentafsirkan perasaan pelakon Fadlan Hazim yang tidak berkesempatan untuk mengikat janji sehidup semati dengan wanita idamannya, Julie Anne Kang.

Fadlan mendedahkan, impian untuk mendirikan rumah tangga tahun ini tidak kesampaian apabila hubungan cinta yang sudah dibina hampir enam tahun musnah pada Jun tahun lalu.

"Kalau diikutkan memang kami ada perancangan untuk menamatkan zaman bujang sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun ini. Sebenarnya kami memang dah lama merancang untuk bertunang dan berkahwin sejak tahun lepas lagi.

"Tapi saya reda apabila wanita yang saya kenal sejak dari bangku sekolah dan bertemu kembali pada tahun 2014 kini jadi seseorang yang asing dalam hidup saya. Malah, saya tak sangka yang kami seperti tidak mengenali antara satu sama lain.

"Saya akui hubungan kami terlerai sekitar Jun tahun lalu Jujurnya, banyak isu yang timbul, maklumlah kami sudah lama berkawan. Hubungan tidak berapa baik sejak beberapa tahun lalu. Macam-macam perkara berlaku, tetapi saya masih cuba mempertahankannya kerana sudah kenal lama.

"Tapi mungkin sudah tertulis tiada jodoh antara kami walaupun persahabatan kami sudah terjalin hampir 16 tahun," katanya.

Menurut Fadlan, kesibukan kedua-dua belah pihak mengejar impian dan cita-cita menyebabkan hubungan mereka tidak mampu diselamatkan lagi.

"Selain tidak sehaluan, saya akui masing-masing juga sibuk mengejar impian dan cita-cita serta menstabilkan kerjaya.

"Kami berdua sukar mencari titik keserasian menyebabkan hubungan makin menjauh. Jika ada masalah, kami tidak lagi berkongsi cerita, lebih banyak memendam rasa. Kini, kami tidak lagi berhubung sejak dua bulan lalu.

"Mungkin ini adalah jalan terbaik untuk saya 'move on'. Saya pun baru bersedia nak kongsikan kepada semua selepas berasa betul-betul 'single' (solo) hujung tahun lalu. Sekarang ini saya mahu fokus kepada diri sendiri saja," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Oktober 2021 @ 1:58 PM