Eina Azman
Eina Azman
Zaara Talita
am@hmetro.com.my

 

Kuala Lumpur : Pelakon, Datin Paduka Eina Azman, 26, terkedu apabila dimaklumkan mengenai pemergian penerbit dan pengarah terkenal, Mamat Khalid yang meninggal dunia, semalam.

Eina atau nama sebenarnya Ainur Syakina Azman berkata, timbul rasa ralat apabila dia seharusnya memulakan penggambaran di bawah arahan Allahyarham yang berjudul Kampung Pisang Berbuah Dua Kali.

"Saya terkejut apabila dimaklumkan oleh kakak saya mengenai pemergian Abang Mamat. Terkedu ketika menerima panggilan pada tengah malam semalam, berkali-kali saya meminta kakak saya membuat kepastian. Ralat menyelubungi diri kerana saya seharusnya memulakan penggambaran pada 3 November ini. Biarpun jadual sedikit padat, namun saya meminta untuk mengisi slot buat Abang Mamat.

"Kali terakhir saya berlakon di bawah arahan Allahyarham menerusi filem Zombie Kilang Biskut yang ditayangkan pada 2014. Beberapa kali pihak produksi menekankan Abang Mamat ingin saya berlakon dalam karyanya ini. Baru Khamis lalu pihak produksi menghubungi kakak saya bertanyakan mengenai jadual. Malah, saya juga dimaklumkan Abang Mamat sudah menyiapkan skrip membabitkan 15 babak untuk super telefilem itu," katanya kepada Harian Metro.

Mamat Khalid dilaporkan pengsan di restorannya, Sarang Art Hub di Tanjung Malim, Perak sebelum dikejarkan ke Hospital Slim River dan disahkan meninggal dunia.

Terdahulu Allahyarham pernah dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) di sebuah pusat perubatan selepas mengalami sesak nafas pada Oktober 2019.

Antara karyanya yang paling popular ialah Hantu Kak Limah, Zombie Kampung Pisang, Man Laksa, Rock Oo, Rock Bro, 16 Puasa, 17 Puasa, 18 Puasa Di Kampung Pisang dan banyak lagi.

 

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Oktober 2021 @ 12:45 PM