Maria yang dirawat di Maeps.
Maria yang dirawat di Maeps.
Ridzuan Abdul Rahman

 

Kuala Lumpur: "Saya mohon maaf jika ada salah silap dengan sesiapa sahaja. Kepada anda semua yang menonton, ahli keluarga, kawan-kawan, kalau saya ada termakan dan terminum harap halalkan. 

"Saya maafkan semua orang dan halalkan makan minum suami, anak-anak dan kawan-kawan. Sampai kita berjumpa lagi," kata pengacara Maria Tunku Sabri dalam nada sebak menerusi video di Instagram.

Pengacara terkenal yang pernah mengendalikan program Jalan-Jalan Cari Makan (JJCM) ini terpaksa dikejarkan ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Bersepadu (PKRC) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (Maeps), Serdang pada 21 Oktober lalu selepas bacaan darah tinggi rendah, degupan jantung laju dan demam gara-gara dijangkiti Covid-19.

Maria berkata, dia memohon maaf kerana tidak memuatkan sebarang khabar berita darinya ketika ini kerana mahu berehat.

"Saya nak pulihkan sakit yang kita tak nampak sebab dalaman luaran badan nampak susut . Apa nak buat, sakit kan. Bacaan oksigen dan darah tinggi normal, cumanya kuman dalam darah semakin mengganas. 

"Saya perlukan rehat yang banyak. Sudah lima, enam hari tak buat hantaran di Instagram. Tak larat sangat dan masa cakap pun batuk. Memang tak boleh nak cakap banyak sangat. Minta semua doakan saya agar saya kembali pulih dan balik rumah," katanya.

Perkongsian video itu mendapat lebih 50,000 tontonan serta simpati dari rakan industri serta peminat.

Mereka mendoakan agar Maria tabah dan sembuh seperti sediakala.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Oktober 2021 @ 12:40 PM