ARWAH Mamat bersama isteri dan anaknya. FOTO IG Mamat Khalid.
ARWAH Mamat bersama isteri dan anaknya. FOTO IG Mamat Khalid.
Farihad Shalla Mahmud


Ipoh: Isteri Allahyarham Mamat Khalid, Hasmah Hassan sempat mengajar suami mengucap dan berzikir sebelum pengarah tersohor itu menghembuskan nafas terakhir, tengah malam tadi.

Menceritakan detik terakhir bersama arwah, Hasmah tidak menyangka suaminya pergi secepat itu kerana berada dalam keadaan sihat.

"Perwatakan arwah ceria seperti biasa. Malah, sebelum kejadian itu, suami cukup teruja melayan tetamu di kafe Sarang Art Hub.

"Dia tidak menunjukkan sebarang perubahan. Cuma, suami memang sibuk dengan kerja penggambaran. Satu demi satu projek diusahakan hingga saya ajak bercuti pun ditolak.

"Selepas ketiadaannya, baru saya sedar dia seolah-olah sudah tahu tidak punya banyak masa.

"Disebabkan itu, dia berusaha menyelesaikan projek yang sudah dirancang hingga sanggup mengorbankan masa rehat dan mengambil ringan soal kesihatannya," katanya ketika ditemui BH Online di kediamannya di Taman Ipoh Jaya Timur 1, di sini, hari ini.

Sementara itu, Hasmah yang mesra disapa Kak Intan terkilan arwah suami tidak sempat menyiapkan drama bersiri yang mengangkat kisah dongeng rakyat.

"Arwah pernah pergi ke kedai buku untuk mencari karya berkaitan kisah dongeng rakyat. Sebaliknya, apa yang ditemui adalah kisah dongeng luar negara yang dialih ke Bahasa Melayu.

"Kecewa dengan situasi itu dan dengan niat mengangkat kembali cerita rakyat, timbul idea untuk menerbitkan drama bersiri 15 episod berjudul Hikayat Dongeng Rakyat Malaysia.

"Persiapan sudah separuh dan ramai pelakon menyatakan persetujuan terbabit dalam drama itu. Malangnya, arwah pergi sebelum sempat menyiapkan hasil kerjanya itu.

"Mungkin anak keempat kami, Mohd Khalid Amen akan mengambil alih tugas menyiapkan projek itu. Saya harap, semua pihak dapat beri sokongan kepadanya," katanya.

Allahyarham Mamat Khalid atau nama sebenar, Mohamad Mohamad Khalid, 58, menghembuskan nafas terakhir di Hospital Slim River, kira-kira jam 12.30 tengah malam tadi.

Jenazah Allahyarham akan disembahyangkan di Masjid Jamek Idris Iskandar Shah, Sungai Rokam di sini sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Kampung Paloh selepas Zohor.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Oktober 2021 @ 3:05 PM