Balqis Jazimah Zahari

Ipoh: "Ayah sedang bermain keyboard sebelum tiba-tiba terdiam," kata Mohd Khalid Amen Mohamad, 25, anak kepada pengarah filem terkenal, Mamat Khalid yang meninggal dunia pagi ini.

Menurut Mohd Khalid Amen, bapanya bermain keyboard dengan mengalunkan lagu Apokalips yang menjadi kegemarannya di hadapan ahli keluarganya sebelum dia secara tiba-tiba diam.

"Saya dan ahli keluarga terus menerpa ke arahnya dan dia tidak mengadu sakit apa-apa pun ketika itu.

"Kami menghubungi ambulans dan akhirnya papa menghembus nafas terakhir ketika dalam perjalanan ke hospital," katanya.

Menurutnya, Allahyarham sepatutnya memulakan penggambaran untuk telemovie bertajuk 'Kampung Pisang Berbuah Dua Kali' minggu depan.

"Masih mengekalkan pelakon yang sama, papa sudah ambil beberapa 'speed' untuk siapkannya serta bercadang untuk memulakan penggambaran hujung bulan ini tetapi tidak sempat," katanya ketika ditemui di kediaman keluarganya di Taman Ipoh Jaya Timur 1 di sini, sebentar tadi.

Rakan artis, pelakon dan pengarah filem hadir hadir menziarahi dan memberi penghormatan terakhir kepada jenazah Mamat Khalid.

Antaranya Datuk Awie, K Rahman, Pekin Ibrahim, Bell Ngasri, Zul Ariffin, Zahiril Asldzim dan Mat London.

Turut hadir menziarahi adalah Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Perladangan dan Industri Makanan negeri Razman Zakaria.

Allahyarham Mamat Khalid atau nama sebenarnya, Mohamad Mohamad Khalid, 58, menghembuskan nafas terakhir di Hospital Slim River kira-kira jam 12.30 tengah malam tadi.

Allahyarham pengsan di restorannya, Sarang Art Hub di Tanjung Malim, Perak sebelum dikejarkan ke Hospital Slim River dan disahkan meninggal dunia.

Jenazah Allahyarham disembahyangkan di Masjid Jamek Idris Iskandar Shah, Sungai Rokam di sini sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Kampung Paloh.

Mamat Khalid meninggalkan seorang isteri, Hasmah Hassan dan lima anak.

Antara karyanya yang paling popular ialah Hantu Kak Limah, Zombie Kampung Pisang, Man Laksa, Rock Oo, Rock Bro, 16 Puasa, 17 Puasa dan 18 Puasa Di Kampung Pisang.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Oktober 2021 @ 1:52 PM
Jenazah tiba pada jam 12.25 tengahari di Masjid Jamek Idris Iskandar Shah 1, Sungai Rokam untuk disembahyangkan selepas solat Zuhur. FOTO SHARUL HAFIZ ZAM
Jenazah tiba pada jam 12.25 tengahari di Masjid Jamek Idris Iskandar Shah 1, Sungai Rokam untuk disembahyangkan selepas solat Zuhur. FOTO SHARUL HAFIZ ZAM