Ketua Pengarah Istana Budaya, Zaiton Md Desa (dua kiri) dan penyanyi, Misha Omar pada Sidang Media Konsert OSK Bersama Bintang di Istana Budaya. FOTO AZIAH AZMEE
Ketua Pengarah Istana Budaya, Zaiton Md Desa (dua kiri) dan penyanyi, Misha Omar pada Sidang Media Konsert OSK Bersama Bintang di Istana Budaya. FOTO AZIAH AZMEE
Najiy Jefri


Istana Budaya meletakkan syarat hanya menjual empat tiket kepada setiap pembeli tiket konsert anjuran mereka selepas ini.

Timbalan Ketua Pengarah Artistik Istana Budaya, Zaifri Husin berkata, keputusan itu dibuat bagi memberi peluang kepada lebih ramai untuk mendapatkan tiket konsert anjuran Istana Budaya.

Tindakan itu juga dilakukan berikutan kekecohan mengenai penjualan tiket Konsert Orkestra Simfoni Kebangsaan Malaysia Bersama Bintang Misha Omar menjadi bualan hangat di media sosial sejak semalam apabila ramai pembeli tidak berjaya membeli tiket di kaunter yang dibuka di Istana Budaya.

Tiket konsert berkenaan juga sudah habis dijual semalam.

"Hasil perbincangan dengan pihak pemasaran Istana Budaya, kami mengambil keputusan untuk mengehadkan penjualan empat tiket saja kepada setiap seorang untuk konsert yang lain selepas ini," katanya ketika ditemui di sidang media Konsert Patriotik Tanah Airku di Selasar Pualam, Istana Budaya, di sini, hari ini.

Konsert Patriotik Tanah Airku bakal menampilkan persembahan Syamel, Ernie Zakri, Aina Abdul, Fitri Hiswady dan Hairi Safwan yang bakal berlangsung pada 6 November ini di Panggung Sari, Istana Budaya.

Zaifri berkata, pihaknya memohon maaf atas insiden yang berlaku dan sedang dalam persiapan untuk melangkah ke arah sistem penjualan tiket secara dalam talian menjelang awal tahun depan.

"Kami ingin memohon maaf kepada orang ramai yang datang membeli tiket secara tunai semalam. Saya sendiri nampak orang beratur panjang di luar Istana Budaya dan meminta untuk mereka masuk ke dalam kerana cuaca yang panas dan hujan.

"Sebenarnya usaha ke arah pendigitalan ini sudah dimulakan sejak Jun lalu, tapi disebabkan proses untuk menyiapkan mengambil masa yang panjang jadi kami tidak dapat laksanakan pada tahun ini," katanya.

Konsert Orkestra Simfoni Kebangsaan Malaysia Bersama Bintang Misha Omar akan berlangsung di Istana Budaya pada 30 Oktober ini.

Mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan, kapasiti penonton dikecilkan kepada 735 daripada kapasiti penuh iaitu 1,400 tempat duduk.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Oktober 2021 @ 5:18 PM