Joe Flizzow.
Joe Flizzow.

Kuala Lumpur: "Pakai otak!". Itu kata komposer dan penyanyi hip hop terkenal, Joe Flizzow mengenai video tular membabitkan perkongsian cerita aksi rogol pelakon Fauzi Nawawi terhadap Raja Farah dalam filem Anak Halal.

Tindakan Fauzi yang mengimbas kembali perkara itu dalam program Rumah No 107 yang menampilkan pengacara Khir Rahman dan Shuk itu mengundang kecaman netizen termasuk Raja Farah dan suaminya.

Joe menerusi hantaran video di Instagram Story berkata, sepatutnya isu rogol tidak patut dijadikan bahan lawak.

"Saya kena cakap ini. Kepada artis atau pengacara yang ingat isu rogol adalah kelakar, isu dera atau gangguan seksual ini kelakar, anda baik berhenti kerja, pakai otak. Anda 'role model' sepatutnya, tapi promosi isu bodoh sebegini," katanya.

Menerusi hantaran sama, Joe turut memuat naik petikan rakaman program itu dengan disertakan keterangan ringkas.

"Idiots on TV. Memalukan. This is Malaysian TV. God save us all. Kau tak tahu jahat tu apa S***," tulisnya.

Bagaimanapun, Fauzi tampil memohon maaf secara terbuka terhadap Raja Farah, suami dan keluarga atas perkongsian perkara itu di kaca TV.

Selain Fauzi, Khir Rahman juga mengambil pendekatan sama dengan membuat permohonan maaf menerusi hantaran di Instagram.

Selain Fauzi dan Raja Farah, filem Anak Halal yang ditayangkan pada 2007 turut menampilkan lakonan Farid Kamil, Maya Karin, Remy Ishak, Ady Putra, Bront Palarae dan ramai lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Oktober 2021 @ 9:00 PM