KHIR Rahman
KHIR Rahman
Ridzuan Abdul Rahman

Kuala Lumpur: Penerbit dan pengacara program Rumah No 107 iaitu Khir Rahman memohon maaf terhadap Raja Farah dan suaminya. 

Khir berkata, dia bersyukur kerana pelakon terbabit dan suaminya mempunyai hati yang mulia untuk memaafkan keterlanjurannya.

"Justeru saya ingin sekali lagi memohon maaf pada Raja Farah dan seluruh keluarganya. Bahawa saya menjadi 'sauh' dalam program ini bukan untuk membuka aib sesiapa. Sedikit pencerahan, sebagai 'sauh', tugas saya dan beberapa teman mengacara adalah untuk mencungkil cerita yang belum pernah diceritakan oleh tetamu di platform lain (rancangan lain).

"Ada masa berjaya dicungkil, dan ada masa tidak. Kebanyakan tetamu sangat 'sporting' dan memberi kerjasama yang baik," katanya. 

Khir menerusi hantaran di Instagram berkata, dia percaya mereka yang pernah menonton rancangan itu sangat menghargai keterbukaan tetamu dalam berkongsi cerita.

"Kita ketawa dan menangis bersama menontonnya. Oleh kerana itu saya juga percaya semua pihak bersetuju untuk merakam terlebih dahulu dan bukan dibuat secara langsung. Tujuannya supaya ada bahagian keterlanjuran kata-kata yang boleh ditapis. Saya secara peribadi, sebagai pengkarya Muslim, tak mungkin akan memperlekeh atau meraikan isu yang diperbualkan.

"Maksud saya berkenaan babak-babak 18sg/sx dalam pengkaryaan seorang Muslim. Secara peribadi juga, saya mohon agar penyebaran video itu dihentikan serta merta. Saya tak pasti kalau ada pihak yang tidak berpuashati pada mana-mana pihak. Namun, penularan video berkenaan mesti dihentikan segera. Ada keterlanjuran dan maruah yang perlu kita sama-sama jaga.

"Sepengetahuan saya, kebanyakan tetamu berkongsi kisah nakal dan aib mereka demi menjadi pengajaran buat masyarakat (mengapa yang ini diviralkan)," katanya. 

Terdahulu pelakon Fauzi Nawawi dikecam warganet berikutan pengakuan menyukai wataknya sebagai perogol.

Dia menceritakan secara terperinci lakonannya dalam sebuah adegan 'panas' bersama Raja Farah dalam filem Anak Halal. Babak itu bagaimanapun dibuang atas permintaan keluarga Raja Farah.

Fauzi dalam kenyataannya mendakwa, selepas habis rakaman dia tersedar ada perkara yang patut ditapis serta meminta penerbit dan produksi supaya tidak ditayangkan. 

Ia kemudian menjadi tular apabila rakaman program berkenaan disiarkan di kaca TV sebelum dimuat naik di Twitter. 

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Oktober 2021 @ 1:01 PM