Rita Rudaini.
Rita Rudaini.
Najiy Jefri


Kuala Lumpur: Akibat belum mengambil suntikan vaksin Covid-19, pelakon Rita Rudaini terus dihentam netizen.

Rita menerusi hantaran di Instagram Story berkata, dia 'bingung' dengan tindakan segelintir pihak itu yang turut dirasakan dengki terhadapnya.

Bagaimanapun, Rita mendoakan mereka yang lengkap dua dos vaksin dan bercadang pulang ke kampung halaman selepas kebenaran merentas negeri dibenarkan kerajaan mulai semalam supaya menjaga keselamatan diri.

"Saya doakan selamat merentas negeri, negara, planet dan alam semesta dengan selamat. Semoga selamat pergi dan kembali.

"Kita saudara sesama Islam. Takkan perangai macam hanjing (anjing) hari-hari? Tak penat ke memerli. Kalian yang dapat rentas dan 'dine-in' masih nak dengki busuk dengan saya? Memang lawak terbaik!" katanya dalam beberapa perkongsian di Instagram Story.

Menurut Rita, apa yang penting buat dirinya kini adalah menjaga kesihatan dirinya berbanding keluar berjalan-jalan.

"Bagi saya, tak penting balik kampung, bercuti, rentas negeri, negara atau 'dine-in'. Apa yang penting sekarang adalah kesihatan. Itu keperluan asas saya sekarang," katanya.

Sebelum ini, Rita mengakui tidak kisah jika namanya digugurkan daripada terbabit dengan mana-mana penggambaran drama walaupun drama 100 episod sekali pun berikutan pendiriannya yang tidak mengambil suntikan vaksin Covid-19.

Namanya mula menjadi bualan netizen di media sosial apabila ada pengguna memuat naik tangkap layar InstaStory memaparkan pelakon itu sedang merebus bunga cengkih.

Malah, ibu tunggal kepada dua cahaya mata itu turut bertindak menyiar semula beberapa hantaran yang seakan menguatkan dakwaan dirinya tidak percaya dengan vaksin Covid-19.

Rita juga pernah bersuara membidas tohmahan seorang pengacara televisyen yang mendakwa dirinya sebagai seorang antivaksin dan kerap menyebarkan dakyah berkaitan perkara berkenaan.

Rita juga tidak bersetuju dia dikatakan sebagai antivaksin, tetapi tidak menjelaskan kenapa dia enggan mengambil vaksin Covid-19.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Oktober 2021 @ 7:11 PM