GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Georgie Joseph


Kuala Lumpur: Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) sedia bekerjasama dengan pihak berkuasa berhubung kes jangkitan Covid-19 yang membabitkan syarikat produksi di satu lokasi penggambaran, baru-baru ini.

Finas dalam satu kenyataan berjanji akan terbabit sepenuhnya dalam menangani dan menyelesaikan isu berbangkit itu demi memastikan nama baik industri kreatif terpelihara.

"Finas komited untuk bertindak lebih agresif dalam menjalankan pemantauan dan penguatkuasaan pematuhan prosedur operasi standard (SOP). Kami juga mengalu-alukan sebarang aduan daripada masyarakat sekiranya mendapati berlaku perlanggaran SOP yang membabitkan aktiviti penggambaran," kata kenyataan itu.

Terbaru, Finas mengambil inisiatif dengan menyalurkan maklumat dan kerjasama sepenuhnya kepada Kementerian Kesihatan bagi tindakan selanjutnya.

"Unit Penguatkuasa Bahagian Pelesenan dan Penguatkuasaan Finas sudah membuka kertas siasatan berhubung perkara ini. Siasatan penuh akan dijalankan sebelum tindakan seterusnya diambil selaras dengan sistem perundangan negara.

"Finas ingin mengingatkan kepada semua Penyelia Protokol Penggambaran (PPP) yang dilantik syarikat produksi masing-masing untuk memainkan peranan dan menjalankan tanggungjawab. Mereka harus sentiasa memastikan artis dan kru mematuhi semua garis panduan yang ditetapkan dan merekodkan di dalam Buku Log disediakan Finas," katanya.

Dalam pada itu, Finas memandang serius akan isu terbabit dan mahu setiap produksi terus dipantau terutama dari segi pematuhan SOP.

"Untuk makluman, penguatkuasa Finas sudah mengambil langkah proaktif bagi memantau aktiviti penggambaran filem di bawah Surat Perakuan Penggambaran Filem Khas (SPP Khas) di lokasi penggambaran. Ia bagi memastikan setiap syarikat produksi mematuhi SOP penggambaran yang digariskan Majlis Keselamatan Negara (MKN)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Oktober 2021 @ 11:39 AM