PELANCARAN filem Backstage di Indonesia.
PELANCARAN filem Backstage di Indonesia.
Sudirman Mohd Tahir


SELEPAS tertunda lebih dari setahun rentetan pandemik Covid-19, filem Backstage yang juga kolaborasi Astro Shaw bersama penerbit terkemuka Indonesia, Paragon Pictures dan Ideosource Entertainment serta membabitkan perusahaan teknologi, pencarian kandungan teknologi digital dan telekomunikasi, NFC Indonesia, akhirnya bersedia untuk ditayangkan di seluruh pawagam Indonesia bermula 30 Disember ini.

Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Penerbit Eksekutif Ideosource Entertainment, Andi Boediman melahirkan rasa gembira apabila filem Backstage dapat ditayangkan di pawagam.

"Proses pembikinan filem ini daripada fasa penggambaran, kemudian ke fasa penyuntingan mengambil masa yang panjang dan selepas menunggu dua tahun, saya rasa gembira akhirnya filem Backstage akan menemui penonton di pawagam," katanya.

Penerbit Paragon Pictures, Robert Ronny berkata, dia berharap filem itu mendapat sambutan baik dalam kalangan peminat filem.

"Saya berharap filem ini akan mendapat reaksi positif daripada penggemar filem Indonesia, terutamanya dalam kalangan remaja. Cerita perjuangan seorang gadis yang ingin menjadi penyanyi dengan sokongan kakaknya ini akan memberikan pengalaman menarik buat penonton," katanya.

Sementara itu, Naib Presiden, Perniagaan Melayu Nusantara & Ketua Astro Shaw, Raja Jastina Raja Arshad berkata Astro Shaw rasa amat berbesar hati terbabit dalam filem Backstage dan bekerjasama sekali lagi dengan penerbit terkemuka dari Indonesia serta kru dan pelakon yang berbakat besar.

"Kami berbangga dapat menjalin kerjasama strategik sekali lagi bersama Paragon Pictures dan Ideosource Entertainment dalam memperkukuhkan jenama kedua-dua penerbit di peringkat global. Kerjasama ini juga dilihat menjadi platform sempurna buat Astro Shaw dalam mempamerkan kredibiliti dalam menyediakan platform terbaik untuk mengedar dan memasarkan filem dari negara luar, di samping konsisten dengan komitmen berterusan dalam mempersembahkan filem berkualiti kepada penonton Malaysia.

"Kini filem Backstage sudah bersedia untuk dipersembahkan kepada umum. Kami masih meneliti perkembangan sambutan pawagam di Malaysia yang baru sahaja bermula selepas penutupan disebabkan pandemik. Jika menunjukkan sambutan yang menggalakkan pihak kami akan mempertimbangkan tayangan serentak dengan Indonesia.

"Filem Backstage akan menjadi filem pertama daripada Astro Shaw untuk tayangan di panggung wayang sejak pawagam tanah air dibuka semula selepas pandemik Covid-19. Kami berharap kehadiran filem Backstage mampu menarik penonton ke pawagam dan sekaligus merancakkan ekonomi filem tempatan. Kami juga berharap menerusi kerjasama ini, ia dapat meneguhkan lagi filem serantau Asia," katanya.

Pengarah Filem Backstage, Guntur Soeharjanto berkata, banyak cabaran dalam menghasilkan filem Backstage.

"Antara cabaran termasuklah segala proses dan kerja perlu dihentikan apabila negara berdepan dengan pandemik. Namun segala kerja keras kami terbalas apabila filem ini akhirnya akan ditayangkan di pawagam penghujung tahun ini," katanya.

Sementara itu, pelakon Sissy Prescillia yang menjayakan watak utama Sandra melahirkan rasa sangat berpuas dengan hasil filem itu.

"Saya berpuas hati dengan hasilnya. Kerja keras kami selama pandemik seperti sudah terbalas. Elemen drama kakak dan adiknya sangat kuat dan lagu-lagu yang dipersembahkan juga pasti akan memikat hati penonton. Filem ini wajib ditonton di pawagam," katanya.

Pelakon Vanesha Prescilla yang menggerakkan watak Elsa dalam filem ini juga berkongsi rasa gembira apabila filem Backstage akhirnya akan ditayangkan di pawagam.

Tambah pula filem Backstage amat istimewa buat dirinya kerana ia adalah kali pertama beliau bergandingan dengan kakaknya dalam sebuah filem.

"Filem ini sangat istimewa jadi saya sangat teruja akhirnya filem Backstage akan menemui penonton di pawagam. Lebih menarik, filem ini dapat menghiburkan penonton pada hujung tahun ini," katanya.

Selain Vanesha Prescilla, Sissy Priscillia, Achmad Megantara, filem ini juga dibintangi oleh Aulia Sarah, Karina Suwandi, Ferry Salim, Verdi Solaiman, dan Roy Sungkono.

Filem Backstage akan ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia kelak. Ikuti perkembangan dan info tentang filem Backstage menerusi akaun Instagram, Facebook, Twitter Astro Gempak dan Astro Shaw.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Oktober 2021 @ 6:35 AM