YONNYBOII bersama tunangnya.
YONNYBOII bersama tunangnya.
Ridzuan Abdul Rahman

Kuala Lumpur: Penyanyi Yonnyboii, 23, selamat melangsungkan pertunangan dengan wanita pilihannya, Nik Nazira, hari ini.

Pertunangan itu berlangsung selepas penyanyi bernama sebenar Muhammad Haqeem Nuriman Nor Azrin itu memuat naik gambar mereka berdua di Instagram tujuh hari lalu. 

Menerusi paparan terbaru di Instagram hari ini, Yonnyboii memuat naik gambar pertunangan mereka yang berpakaian sedondon berwarna kelabu dengan keterangan yang romantis. 

"Saya tak pernah benar-benar percaya pada cinta, saya tak pernah percaya pada peluang. Sebelum ini, saya tak pernah berasa yakin, sebegini gembira, tak pernah tersenyum lebih daripada waktu sekarang dan tak pernah rasa seperti ini sehingga saya bertemu dengan awak," katanya.

Yonnyboii berkata, jantungnya berasa berdebar setiapkali melihat Nik Nazira.

"Saya tidak pernah berasa diri ini seorang yang pelik, tidak pernah rasa gementar sehinggalah saya jumpa awak. Saya tidak pernah mempunyai alasan untuk mencintai seseorang lebih daripada diri saya sehingga saya bertemu dengan awak, saya tahu, awak adalah orang yang paling saya sayang, untuk seumur hidup," katanya. 

Perkongsian itu mendapat tanda suka melebihi 30,000 pengikut termasuk rakan-rakan artis.

Mereka mengucapkan tahniah dan mendoakan yang terbaik buat Yonnyboii dan Nik Nazira.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Oktober 2021 @ 5:03 PM