Zara Zya
Zara Zya
Syafil Syazwan Jefri


Kuala Lumpur: Pelakon, Zara Zya menganggap hantarannya di Instagram mempromosikan produk-produk berkaitan bentuk badan bukanlah sesuatu yang keterlaluan.

Zara ketika dihubungi berkata, dia tidak boleh menutup mulut netizen yang mengecam dan menyelar tindakannya memuat naik kandungan yang dianggap tidak sesuai dengan imej bertudungnya.

"Dari segi pemahaman saya, ia bukanlah keterlaluan, cuma segelintir rakyat Malaysia terlalu sensitif. Lebih-lebih lagi untuk produk sebegitu. Namun, terpulang kepada diri mereka sendiri. Saya pun tak boleh nak cakap banyak mengenai perkara itu," katanya kepada Harian Metro.

Menurut pelakon serba-boleh ini, dia sentiasa melihat sesuatu dari sudut positif.

"Kalau kita pandang sesuatu dari sudut positif, maka ia akan jadi positif. Kalau benda yang dipandang negatif, ia akan jadi negatif," katanya.

Di Instagram, terdapat segelintir netizen meluahkan rasa tidak selesa dengan beberapa hantaran Zara yang mempromosikan produk seperti memantapkan punggung dan payu dara.

Ada juga pengikutnya di platform media sosial itu memohon maaf kerana terpaksa berhenti mengikuti akaun Instagramnya kerana tidak mahu melihat hantaran yang dianggap seksi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Oktober 2021 @ 5:48 PM