REEVES dedah kelainan dalam John Wick Chapter 4. - FOTO Google
REEVES dedah kelainan dalam John Wick Chapter 4. - FOTO Google
Susunan Najiy Jefri


PELAKON filem John Wick, Keanu Reeves mendedahkan kelainan menakjubkan untuk sekuel keempat filem berkenaan yang berjudul John Wick Chapter 4.

Reeves berkata, John Wick Chapter 4 akan membuka satu lembaran baharu dengan peningkatan aksi pada tahap yang lebih tinggi dan memuaskan.

"John Wick Chapter 4 juga akan menampilkan ramai pendatang baharu yang akan melengkapkan lagi jalan cerita. Akan ada beberapa aksi dalam filem ini yang sangat menakjubkan dan watak baharu yang menyenangkan," katanya.

Menurut Reeves, filem yang bakal menemui penonton tahun depan itu juga memaparkan dunia misteri yang lebih mendalam dengan memaparkan watak jahat lakonan pelakon seni bela diti terkenal, Donnie Yen.

"Penonton pasti akan tertunggu-tunggu tayangan filem ini yang menjanjikan kepuasan dan kelainan pada tahap maksimum," katanya.

Reeves sentiasa berpegang dengan prinsip tidak mudah menyerah kalah. - FOTO Google
Reeves sentiasa berpegang dengan prinsip tidak mudah menyerah kalah. - FOTO Google

Dalam pada itu, pelakon berusia 57 tahun ini turut berkongsi mengenai perjalanan hidup yang dilalui di sebalik kejayaan kariernya di Hollywood ketika ini.

Menurut Reeves, biarpun pernah berdepan kegagalan dan penderitaan, namun dia tidak pernah menyerah kalah, sebaliknya segala pengalaman pahit yang dilalui berjaya membentuk jati dirinya.

Siapa sangka, pada usia yang masih mentah iaitu 17 tahun Reeves sudah meninggalkan rumah. Pada usia 20 tahun, dia meninggalkan Kanada dan berhijrah ke Amerika Syarikat (AS).

"Saya menjaga diri sendiri sebagai seorang remaja. Ketika saya pindah ke AS, saya mempunyai beberapa keluarga dan mendapat banyak penolakan," katanya.

Reeves yang kini sukses sebagai pelakon tidak membayangkan masa depannya, namun dia hanya berusaha untuk terus memperbaiki kemampuan yang dimiliki.

"Saya hanya ingin melakukan apa yang terbaik. Saya beri motivasi kepada diri sendiri sejak di bangku sekolah lagi. Saya mengambil kelas lakonan pada waktu malam. Saya juga pergi menonton teater dan berkenalan dengan mereka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Oktober 2021 @ 6:47 AM